Kenapa ada larangan menonjolkan detik-detik mesra suami isteri?
1. Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri. Sabda Nabi SAW:
الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman.”
(Riwayat Muslim, no. 35)
Rasa malu menurut Imam an-Nawawi rahimahullah adalah: “Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya.”
Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai. (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 345)
Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu dan seangkatan dengannya hendaklah dielakkan di khalayak umum dan juga di media sosial kerana ia bukannya akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini. Semoga kita semua berusaha menzahirkan akhlak dan adab yang mulia dalam kehidupan kita.
Juga sebuah hadis sabda Nabi SAW:
الحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: ”Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6117)
2. Mata-mata jahat ramai yang memerhati.
Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:
“‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”
Beliau turut berkata:
“‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)
Kesimpulan, jangan buka ruang dan peluang kepada syaitan dan manusia bertopeng syaitan untuk mula meracuni rumahtangga yang mulia dibina atas nama Allah. Suami dan para lelaki hendaklah pelindung maruah untuk insan yang sepatutnya dilindungi.
Moga Allah jaga kita semua.
Ustazah Abiidah bt. Fadzlan Shahidi
Penyelidik MUIS