Dialog agama bertujuan menzahirkan kebenaran islam, bukan menyamaratakan semua agama

1. Sebagai peringatan bersama, kita mestilah memahami dengan jelas bahawa sesebuah dialog agama itu, hujungnya adalah bertujuan untuk menzahirkan kebenaran agama Islam dan bukannya menyamaratakan agama-agama lain dengan agama Islam. Firman Allah SWT:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.”
(Surah Ali ‘Imran: 19)
Begitu juga Firman Allah SWT:
الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
Maksudnya: “Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.”
(Surah al-Baqarah: 147)
2. Rumah ibadat adalah tempat berlakunya kekufuran yang nyata. Tanpa sebarang sebab atau maslahat yang muktabar, seseorang itu tidak seharusnya menjejakkan diri ke sana kerana laknat di tempat itu adalah jelas.
3. Sebarang usaha dakwah yang melibatkan keterlibatan rumah ibadat perlu dilakukan dalam ruang yang sangat terhad, agar tidak menimbulkan pelbagai tohmahan dan tanda tanya serta kekeliruan. Saidina Umar R.A telah mengingatkan kita agar sentiasa berhati-hati dalam tindakan kita,
اتَّقُوا مَواضِعَ التُّهَم
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِم
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan. Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.
4. Ia perlu dikawal selia oleh orang yang berkepakaran dalam hal perbandingan agama, dalam konteks dakwah dan menegakkan ketinggian Islam, bukan mencari titik persamaan antara agama.
5. Konteks kenegaraan Malaysia menuntut untuk kita memahami kerangka dakwah yang lebih besar, bukan sekadar memasukkan orang bukan islam ke dalam islam, tetapi mengekalkan arus dan identiti kenegaraan dan kepimpinan Islam yang selama ini bertapak di tanah Melayu.
6. Pendekatan hikmah mempunyai pelbagai tafsiran. Mengehadkan hikmah semata pada mencari titik keharmonian, dalam masa yang sama mengabaikan hikmah dalam konteks ketinggian dan kemuliaan Islam, adalah satu bentuk kepincangan dalam pendekatan dakwah yang sempurna.
7. Akhir sekali, kita mestilah menjauhi cara fikir pluralisme yang merupakan sebuah pemikiran yang sesat dan menyesatkan, meskipun atas alasan harmoni. Umat Islam boleh hidup harmoni dengan penganut agama lain, tanpa perlu pluralisme agama (kesamarataan agama). Hukum ini dijelaskan melalui Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kafirun ayat 1-6 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak sesekali akan sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”.
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)