AqidahDunia IslamIlmiahKenali UlamaKolumnisMalaysiaSejarah dan TamadunUmumUtama

Tanah Melayu beridentitikan Ahli Sunnah Wal Jemaah

Setelah berlalunya masa, dibuka sedikit demi sedikit ilmu Tuhan, saya mula memahami suatu hakikat bahawa :
“Apa yang diwariskan dari sudut pengamalan keagamaan di Tanah Melayu adalah absah dari sudut syariah, menepati pegangan dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah”

Ia berdiri atas ijtihad para ulama Tanah Melayu dalam membawa satu pakej beragama yang sempurna, dari sudut mazhab fiqh, aliran akidah, dan pengamalan tasawwuf yang telah dipakejkan bagi umat Melayu yang mempunyai ciri-ciri khusus dan sejarah yang tersendiri, berbanding bangsa lain.

Kitab-kitab kuning yang diwariskan dan dipelajari di madrasah dan pondok adalah hakikatnya kitab-kitab yang telah pun menjaga identiti keberagamaan yang wujud dalam jatidiri umat Melayu selama ini.

Menafikan keabsahannya ibarat menafikan hakikat kemandirian umat Islam sejak berzaman dulu di atas satu pakej yang kukuh dan syarie.

Ini menjadikan mana-mana arus yang cuba untuk merungkai keterikatan masyarakat Melayu hari ini dengan warisan beragama yang dipakejkan oleh ulama terdahulu adalah arus yang cuba menghilangkan keterikatan generasi lalu dengan generasi hari ini.

Sepertimana arus globalisme dan kolonialisme hari ini sedang cuba menghilangkan keterikatan umat Melayu dengan kemelayuannya, dari sudut pembandaran, keilmuan, budaya dan politik, di sana ada juga arus beragama yang cuba menghilangkan keterikatannya dengan warisan keagamaan yang diasaskan dan dipakejkan selama ini.

Tanpa menafikan pelbagai bentuk kelemahan dan kekurangan dari sudut pelaksanaan dan praktikaliti dalam budaya kita, termasuk wujudnya ajaran sesat dan seumpamanya, pakej warisan itu sepatutnya dilihat sebagai denyut nadi yang menjaga identiti, bukan ancaman yang merosakkan jatidiri keislaman sesebuah umat.

Tajdid yang sepatutnya berlaku bukanlah dengan merungkai semua pakej itu dan menggantikan dengan suatu perkara atau pakej baharu, yang tiada akar sejarah, serta tidak bersama adunan ijtihad ulama nusantara terdahulu yang telah bertungkus lumus memastikan Tanah Melayu ini kekal ‘muslim’.

Usaha tajdid sepatutnya mengambil pakej warisan ini sebagai satu rangka utama, musallamat (perkara yang dipegang secara asal), dan juga inspirasi kemandirian umat yang berjiwa agama, untuk mendepani cabaran semasa yang lebih mencabar, dan mengembalikan kegemilangan peradaban Islam di Tanah Melayu, seperti suatu ketika dahulu.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *