MUIS MENYOKONG RUU MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) ingin menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mufti ( Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang telah dikemukakan pada baru-baru ini. Merujuk kepada perkara 4, adalah dinyatakan bahawa syarat-syarat bagi perlantikan Mufti dan Timbalan Mufti mestilah daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah yang bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, Fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan juga mazhab Hanafi, mazhab MalikI, mazhab Hanbali dan ijtihad-ijtihad para ulamak yang dipersetujui dalam Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan, serta mengamalkan tasawwuf Imam Al-Ghazali dan Imam Junaid Al-Baghdadi.
MUIS melihat Rang Undang-Undang tersebut bersesuaian dengan konteks sejarah dan pembentukan identiti masyarakat Melayu Islam di Malaysia sejak awal kedatangan Islam di Tanah Melayu. Selain itu, usaha tersebut dapat menjaga kestabilan perpaduan umat Islam di Malaysia, sekaligus selari dengan konsep Siyasah Syar’iah.
Ini selaras dengan saranan dan usaha MUIS dalam mengekang ajaran-ajaran aliran pemikiran songsang masa kini yang juga mengaku sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti aliran Liberalisme, Sekularisme dan lain-lain.
Kami juga turut ingin menyampaikan hasrat agar kedudukan Islam terus diperkasa, institusi agama diperkemaskan, isu-isu melibatkan sensitiviti umat Islam akan dapat diselesaikan dengann panduan syarak dan perlembagaan negara , agar Malaysia menuju sebuah negara yang benar-benar menepati aspirasi Syariah dan terpandu atas landasan Al-Quran dan Sunnah.
Semoga usaha tersebut mendapat petunjuk dan taufiq daripada Allah SWT.
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)