Jangan Kita Mempromosi Arak

1. Tindakan kerajaan mengawal unsur promosi arak di premis pendidikan adalah tindakan yang seharusnya disokong. Ia bertepatan dengan saranan hadis malah langkah ini pernah dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu.
2. Bantahan yang dikemukakan oleh Pengerusi DAP adalah bercanggah dengan prinsip Islam. Umat Islam dilarang keras terlibat dengan arak. Ia selaras dengan saranan Rasulullah yang melaknat penyebaran arak. Sabda Rasulullah:
لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
“Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan. (HR Abu Daud)
3. Malah Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan sahabat supaya menjauhi tempat yang dihidangkan arak. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَن كان يؤمن بالله واليوم الآخِر، فلا يقعُد على مائدةٍ يُشرب عليْها الخمْر
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, hendaklah dia menjauhi tempat yang dihidangkan minuman arak” (Riwayat Ahmad)
4. Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa tidak seharusnya bagi seorang Muslim berada ditempat yang terzahir perlakuan yang dilarang oleh Allah. Ini kerana keberadaan mereka ditempat tersebut seolah bersetuju dengan kemungkaran yang berlaku. Malah dibimbangi ia akan memberikan imej negatif kepada diri Muslim itu sendiri.
5. Dengan sebab itu Umar Abdul Aziz pernah mengarahkan satu kumpulan peminum arak untuk dihukum sebat. Tiba-tiba beliau dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki yang berpuasa dikalangan kumpulan tersebut. Umar Abdul Aziz bertegas untuk turut mengenakan hukuman adab (hukuman lain) terhadap lelaki tersebut lalu berkata: “Kamu adalah sebahagian dari mereka”. (Tafsir al-Qurtubi)
6. Imam Malik pernah ditanya berkenaan seorang lelaki yang dijemput ke satu majlis yang menghidangkan arak secara jelas. Apakah boleh dia menghadiri majlis tersebut? Imam Malik menjawab: Tidak! Kerana majlis tersebut telah menzahirkan (mempamerkan) kemungkaran yang jelas. (Ibn Battal, Sharh al-Bukhari).
7. Sepatutnya tidak timbul isu mempersoalkan tindakan mengawal penjualan arak ini oleh seorang Muslim. Muslim seharusnya melihat isu arak di sekolah sebagai suatu keutamaan yang mesti dibanteras demi kesejahteraan ummah ini.
Semoga Allah membimbing kita.
Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Timbalan Pengerusi
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)