Galakan Berkahwin Dan Mendapat Anak
- Rasulullah sangat menggalakkan umatnya agar berkahwin dan mendapatkan anak. Perkara ini jelas dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas yang menyebutkan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُ بِالْبَاءَةِ، وَيَنْهَى عَنِ التَّبَتُّلِ نَهْيًا شَدِيدًا، وَيَقُولُ: (تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ، إِنِّي مُكَاثِرٌ الْأَنْبِيَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ)
“Sesungguhnya Rasulullah menggalakkan kita berkahwin dan sangat melarang kita dari al-tabattul (iaitu tidak berkahwin semata-mata untuk beribadah). Kemudian Baginda bersabda: Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan yang mampu melahirkan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga menjadi Nabi yang ramai umat pada hari kiamat kelak. (HR Ahmad)
- Lebih menarik lagi, Rasulullah pernah menolak permintaan sahabat yang ingin berkahwin dengan wanita yang tidak boleh melahirkan anak. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ma’qil bin Yasar yang menyebutkan:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا؟ قَالَ: لَا، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ
“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan berkata: Aku telah bertemu dengan wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, namun dia tidak boleh melahirkan anak. Apakah boleh aku berkahwin dengannya. Baginda menjawab: Tidak. Lelaki itu datang merayu kali yang kedua, Baginda tetap melarangnya. Lelaki itu datang lagi kali yang ketiga, lantas Rasulullah bersabda: Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan mampu melahirkan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga dengan umat yang ramai pada hari kiamat.” (HR Abu Daud)
- Berkahwin dan mendapatkan anak adalah fitrah para Nabi. Allah mengutuskan para Nabi terdahulu bersama dengan isteri dan anak-anak mereka. Ini adalah selari dengan kehendak manusia yang melihat contoh dari para Nabi sendiri. Firman Allah:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (Surah al-Ra’d: 38)
- Malah Nabi Ibrahim, bapa kepada para Nabi bersungguh berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak. Firman Allah:
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang soleh!” (Surah al-Saffat)
- Berkempen untuk berkahwin dengan tidak menginginkan anak adalah bercanggah dengan teras dan nilai Islam. Tidak mengapa untuk merancang keluarga, tetapi tindakan berkempen untuk menolak pemberian Allah adalah sesuatu yang bercanggah dengan fitrah dan sunnah.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Timbalan Pengerusi Muafakat Ilmuwan Islam (MUIS)