Bon Odori 2024: Toleransi Muslim Ada Batasnya

- Pada Sabtu, 20 Julai 2024 yang lalu telah diadakan sambutan Festival Bon Odori yang ke 48 bertempat di Kompleks Sukan Negara Shah Alam. Sambutan ini turut diadakan di beberapa tempat lain di seluruh Malaysia termasuk Johor Bharu dan Pulau Pinang.
- Sangat mengejutkan kerana berdasarkan foto-foto yang dikongsi oleh media, festival ini telah disertai oleh segelintir umat Islam dan pihak media telah menonjolkan beberapa foto para wanita Muslimah bertudung yang turut sama menyambut dan menyertai tarian festival tersebut.
- Festival yang berasal daripada Obon atau hanya disebut sebagai Bon merupakan satu perayaan gabungan kepercayaan kuno Jepun dengan adat Buddha untuk menyanjung dan memuliakan roh nenek moyang mereka. Menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang akan datang ke dunia bagi menziarahi saudara mara pada setiap tahun sewaktu perayaan Obon berlangsung (Rujukan: Pejabat Perhubungan Awam Kerajaan Jepun dan japan-guide.com).
- Berdasarkan sejarah dan falsafah sambutan Bon Odori, ia amat jelas merupakan sambutan agama dan kepercayaan sesebuah agama. Pada tahun 2022, isu penyertaan umat Islam dalam sambutan Bon Odori telah dibincangkan oleh beberapa orang mufti seperti Mufti Pulau Pinang, bahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah tegas mengeluarkan kenyataan agar umat Islam tidak hadir ke festival tersebut ketika itu. (Rujukan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/963212/jangan-hadir-festival-bon-odori).
- Penyertaan orang Islam dalam Festival Bon Odori boleh membawa kepada syirik. Umat Islam tidak patut menyertai acara tersebut bagi memelihara kesucian pegangan agama. Namun malangnya pada tahun ini, masih ada segelintir umat Islam yang tidak mengambil berat akan nasihat dan panduan ini, seterusnya masih menyertai sambutan perayaan agama lain yang mengandungi unsur yang boleh memberi kesan kepada akidah.
- Memberi alasan bahawa Bon Odori telah berevolusi menjadi acara kebudayaan dan sosial, serta penyertaan semua lapisan masyarakat berbilang agama sebagai satu bentuk toleransi adalah suatu alasan yang dangkal dan tidak tepat. Ini kerana falsafah Bon Odori sendiri jelas berasaskan kepercayaan agama nenek moyang yang bertentangan dengan Islam dan toleransi bagi seorang Muslim ada batasannya.
- Dalam Islam, toleransi wujud dalam konsep tasamuh dan rahmah, namun tidak sesekali menggadaikan akidah dan kepercayaan kepada Allah. Toleransi dalam Islam juga mengandungi hormat tetapi tidak mencampur-adukkan ritual ibadah agama lain. Tarian yang dilaksanakan dalam Bon Odori sebagai contoh merupakan satu ritual persembahan buat roh nenek moyang dan umat Islam perlu peka bahawa ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya atau memberi alasan hanya suka-suka dan berseronok.
- Konsep toleransi dalam Islam juga sangat tegas. Umat Islam wajib berpegang pada prinsip “Lakum deenukum wa liya deen” (Surah Al-Kafirun, ayat 6). “Bagimu agamamu dan bagiku agamaku”. Kita boleh mencapai keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia tanpa perlu mengajak penganut agama lain untuk turut serta dalam upacara agama lain. Masing-masing berpegang dengan agama masing-masing dan saling menghormati tanpa sesekali menggadaikan prinsip.
- Umat Islam tidak sama sekali berkompromi dalam isu yang melibatkan akidah. Sambutan silang agama adalah bibit-bibit pluralisme yang merupakan satu fahaman yang cuba untuk menyamaratakan semua agama sebagai agama yang benar dan diterima. Pluralisme tidak diterima Islam kerana bertentangan dengan konsep “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah adalah Islam” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19).
- Muslim yang menyambut, meraikan dan menyertai upacara keagamaan bagi agama lain dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengiktiraf ketuhanan selain dan perbuatan mensyirikkan Allah. Pihak berkuasa agama seperti para Mufti dan JAKIM perlu tegas dalam mendepani isu ini dan memberi amaran kepada umat Islam agar tidak menyertai sebarang upacara keagamaan bagi agama atau kepercayaan lain.
Semoga Allah memandu kita semua.
Ustazah Nur Fatin Halil
Penyelidik Muafakat Ilmuan Islam