Memelihara Alam Sekitar Adalah Sebahagian Daripada Saranan Agama
- Saban tahun setiap kali musim haji, kita melihat isu longgokan sampah di merata-rata tempat terutama di ‘Arafah dan Masy’ir. Sejak sekian lama, isu ini masih belum selesai walaupun sudah pelbagai usaha yang dilakukan sama ada di pihak Khādimul Haramain yang telah menyediakan begitu banyak tong sampah di setiap beberapa meter di sepanjang kawasan masyāir ataupun di peringkat negara masing-masing.
- Adakah kita terlupa bahawa ibadah haji juga merupakan suatu bentuk menifestasi kepada ketinggian akhlak dan peradaban umat Islam? Hal ini jelas kerana sepanjang menunaikan ibadat tersebut, terdapat pelbagai larangan khusus seperti tidak boleh membunuh haiwan dan tidak boleh memotong tumbuhan. Ini menunjukkan betapa Islam sangat mementingkan kemurnian akhlak para Hujaj dan kehormatan ibadat haji itu sendiri, sekaligus membawa isyarat untuk menjaga kelestarian alam.
- Islam telah mengajarkan kepada manusia bahawa hakikat penciptaan bumi adalah sebuah lambang kekuasaan Allah SWT. Bumi ini bukanlah tempat yang boleh diperbuat sesuka hati manusia, sebaliknya ia adalah milik Allah SWT yang penuh dengan peraturan. Hal ini nyata di dalam firman-Nya,
. أَلَآ إِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَلَآ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ( Surah Yunus: ayat 55)
Selepas Allah SWT menciptakan bumi, maka diciptakan pula manusia sebagai Khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi tersebut, sepertimana dinyatakan dalam firman-Nya,
۞ وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًۭا قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَٱسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّى قَرِيبٌۭ مُّجِيبٌۭ ٦١
Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.
Berbeza pula dengan barat yang mempercayai bahawa manusia itu bukan diciptakan oleh tuhan, tetapi sebaliknya mereka itu terjadi dengan sendiri, sepertimana yang diketengahkan dalam Teori Evolusi Darwin (Darwinisme).
- Apabila manusia memahami tentang hakikat penciptaan mereka dan tugas mereka memakmurkan bumi Allah SWT, maka tidak mungkin mereka akan melakukan hal seperti merosakkan alam sekitar walau dengan apa jua cara sekalipun, apatah lagi mengotori tanah suci haram ketika musim haji. Tegasnya, kehidupan yang baik (Hayah Tayyibah) hanya dapat digapai selepas manusia melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai Insan (Khalifah) yang menjaga bumi (Al-Ardh) daripada dirosakkan oleh tangan-tangan mereka sendiri.
- Allah SWT telah memberi amaran bagi mereka yang tidak memakmurkan bumi Allah SWT sepertimana dalam firman-Nya,
ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ٤١
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ustaz Wan Muhamad Fitri bin Wan Adnan
Penyelidik,
Muafakat Ilmuwan Islam (MUIS)