Hukum termakan daging babi kerana “rider” tersalah hantar makanan?
- Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita yang dimuat naik oleh Izham Nayan yang terkejut apabila anak rakannya termakan makanan yang berisi daging babi disebabkan kesilapan rider syarikat penghataran makanan terkenal di Malaysia.
- Difahamkan, rakannya itu memesan menu mee tarik, namun pihak rider tersilap membuat penghantaran nasi ayam bersama lauk babi panggang. Lebih menyedihkan anak-anak rakannya juga telah termakan makanan tersebut disebabkan terlalu lapar.
- Walaupun kes tersilap hantar makanan halal bertukar haram ini jarang berlaku, namun kesilapan dalam penghataran makanan ini sering berlaku. Maka, apakah pandangan Islam apabila situasi ini berlaku?
- Pertama, hukum asal memakan sesuatu makanan secara batil adalah dilarang berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 188, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah’“
- Namun begitu, di dalam situasi yang kesilapannya dilakukan oleh pihak penghantar makanan bukan pelanggan (selain daging babi etc), maka tidak menjadi satu kesalahan untuk memakan makanan tersebut bagi mengelakkan pembaziran kerana dikhuatiri makanan tersebut akan rosak atau basi. Tambahan pula, untuk memulangkan kembali makanan tersebut mungkin menjadi satu kesulitan kepada pelanggan.
- Pelanggan juga boleh meminta ganti rugi sebagaimana yang telah dipersetujui dalam terma dan syarat syarikat penghantar makanan tersebut dan bersedia sekiranya perlu memulangkan kembali atau menggantikan kos makanan yang telah dihantar (jika telah dimakan).
- Bagi menjawab isu anak-anak rakan Izham Nayan yang telah secara tidak sengaja memakan nasi berlauk babi, seperti mana yang kita sedia maklum, hukum memakan daging babi adalah haram dalam Islam. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 173, ‘Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah.’
- Allah juga telah melanjutkan ayat ini dengan berfirman, “Tetapi barangsiapa di dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas, maka tiada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Quran, 2:173). Ayat ini memberi keizinan dan keringanan bagi mereka yang berada di dalam keadaan darurat untuk memakan makanan yang haram dengan syarat tidak boleh berlebihan. Dan dalam ayat ini dikatakan “tiada dosa baginya” yang memberi gambaran jika makan makanan haram kerana sebab yang dizinkan syariat atau dimaafkan syariat maka perbuatan tersebut tidak berdosa.
- Begitu juga dalam konteks tidak tahu atau tidak sengaja. Hal ini adalah termasuk di dalam perkara yang dimaafkan dalam Islam. Allah tidak menghukum kesalahan yang dilakukan kerana tidak sengaja seperti mana firman-Nya di dalam surah al-Baqarah ayat 286, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Orang-orang beriman berdoa): ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah’”.
- Dan doa orang-orang beriman ini telah dijawab oleh Allah, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahih-nya: “Allah menurunkan ayat ‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Orang-orang beriman berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah’, lalu Allah berfirman: ‘telah aku kabulkan‘” (HR. Muslim no. 126).
- Rasulullah SAW juga telah bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memaafkan ummatku yang berbuat salah karena tidak sengaja, atau karena lupa, atau karena dipaksa” (HR Ibnu Majah, 1675, Al Baihaqi, 7/356, Ibnu Hazm dalam Al Muhalla, 4/4, di shahihkan Al Albani dalam Shahih Ibni Majah).
- Kesimpulannya, kesilapan memakan makanan haram secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan tidak dituntut untuk bertaubat kerana ianya bukan satu dosa. Namun begitu, adalah lebih baik bagi seorang Muslim untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Dr. Siti Nurunnajwa bt Shamsudin
Penyelidik, Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)