MalaysiaSyariah

Sekilas Pandangan Terhadap Merenjis Air Ruqyah Ke Kereta

Saya melihat ada pelbagai sudut yang dibahaskan dalam perihal ini, ada yang mengharuskan, dan ada yang mengharamkan, ada pula tidak mengharamkan tetapi tidak menggalakkan. Saya cuba merungkai beberapa permasalahan ini dari kerangka syarak :

“Merenjis air ruqyah kepada kereta DIHARUSKAN dengan wujudnya pelbagai kaedah, dalil dan jalan kira, SELAGI ia tidak dijadikan kelaziman (kemestian) dan tidak pula diangkat menjadi syiar dalam agama”

Bilakah ia menjadi bid’ah ?

Apabila amalan itu dijadikan kemestian dan syiar (suatu lambang kepada agama), ia boleh berpindah daripada hukum harus kepada hukum bid’ah kerana mengada-adakan satu syiar yang bukan daripada agama.

Syiar agama seperti akikah, korban, tahnik dan seumpamanya adalah amalan yang wujud dalam syariah secara nas hadis yang soreh. Ia sememangnya perlu dimasyhurkan dan diangkat sebagai syiar dalam agama.

Selain daripada syiar yang diwarisi secara nas, perkara lain yang walau ia sabit secara ‘qias’, tidak boleh diangkat sebagai syiar seperti “menyambut kehadiran kereta baharu secara khusus dengan upacara yang khusus” dan diwar-warkan kepada seluruh pelusuk masyarakat perkara ini.

Selagi ia tidak masuk dalam kategori syiar, ia kekal dalam ruang lingkup HARUS.

Bilakah ia menjadi khurafat dan tahyul ?

Apabila amalan itu tidak difahami sebab musababnya, dan tidak pula difahami sudut ‘logika’ sesuatu amalan. Logika sesuatu amalan pula boleh difahami dari pelbagai ilmu, dalil, dan riwayat serta pengalaman.

Jika ada dalil syarak, lalu dijadikan masalah merenjis ini sebagai qias, maka selesailah logikanya secara syarak.

Jika ada suatu catatan ilmiah dan pengalaman bahawa perkara ini memang memberi kesan yang berbeza dengan jika tidak dilakukan perkara ini, maka selesailah logikanya secara adat kebiasaan.

Islam menerima segala perkara yang dilakukan berasaskan ilmu, dan menolak perkara yang berasaskan dakwaan, sangkaan, tekaan dan teka-tekaan.

Apakah kategori amalan merenjis air ini ?

Kategorinya adalah kategori ‘bertabarruk’ (mengambil keberkatan orang soleh), ‘mengambil sebab’ dan ‘tafaa’ul’ (optimis) sahaja, dan ia adalah SALAH SATU daripada RIBUAN sebab mengapa sesebuah kereta itu boleh selamat dari sebarang bala, kecelakaan atau kemalangan.

Ia tetap tidak sempurna tanpa kemahiran pemandu membawa kereta, pematuhan kepada undang-undang lalu lintas, serta pemanduan berhemah para pemandu.

Dalam fiqh, apabila seseorang bayi itu di-akikah-kan, antara galakannya kepada kambing yang di-akikah-kan itu adalah tidak memotong tulang-tulangnya, sebagai satu bentuk ‘optimis’ bahawa akhlak bayi itu akan baik, dan anggota badan bayi itu juga sempurna.

Walau demikian, ia tetap hanya sebagai SALAH SATU sebab musabab sahaja, tanpa dinafikan PELBAGAI SEBAB lain boleh menjadi faktor pembentukan peribadi bayi itu pada masa depan.

Adakah boleh kita merenjisnya setiap hari dengan bacaan air yasin dan ruqyah ?

Apabila perkara yang sangat kecil persennya diutamakan, berbanding sebab musabab yang lebih besar, ia boleh dimasukkan dalam kategori MELAKUKAN PERKARA YANG SIA-SIA dan dikhuatiri boleh membawa kepada KHURAFAT dan TAHYUL.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa

Setiausaha Agung MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *