Ucapan Hari Raya Aidifitri 1445H MUIS

Ucapan Hari Raya Aidifitri 1445H MUIS
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd
Kepada para ulama dan kepada umat Islam seluruhnya, diucapkan tahniah kerana pada hari ini kita menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk kesekian kalinya. Kita berdoa kepada Allah SWT agar semua amalan kita diterima.
Pada hari ini kita berasa sedih bercampur gembira. Sedih kerana kita ditinggalkan oleh bulan Ramadan, dan kita gembira kerana setakat ini kita berjaya melepasi ujian hawa nafsu dengan kita berjaya menghalang dan mengawal hawa nafsu kita.
Kita berdoa kepada Allah SWT agar roh kita semakin tinggi, semakin kuat dengan jihad, semakin rapat dan menemui kebenaran dan mengenal Allah SWT. Kekuatan roh ini sangat penting kerana cabaran yang sedang menanti kita. Cabaran di dalam negara serta cabaran di luar negara sangat luar biasa kebelakangan ini.
Ramadan kali ini dipenuhi dengan warna-warni yang sangat mencabar kewibawaan para umara, para ulama dan umat Islam itu sendiri. Samada isu itu bersifat lokal (isu tempatan) mahupun bersifat antarabangsa.
Syawal dikatakan sebagai bulan kemenangan, cuma persoalannya Syawal kali ini siapa yang menang? Krisis di Gaza masih belum menampakkan kemenangan mutlak bagi umat Islam. Di Malaysia itu sendiri, kebanyakan kes umat Islam dilihat sebagai pihak yang perlu mengalah pada setiap masa.
Bagi saya, kemenangan yang dikatakan diraih dalam bulan Syawal tidak dinafikan. Kemenangan yang lebih bersifat individu tetapi bukan kemenangan yang bersifat kemenangan umat. Banyak lagi isu yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam.
Maka dengan itu para ulama perlu untuk menjadi orang yang berada di barisan hadapan, mengingatkan umat supaya memberikan wala sepenuhnya kepada Allah kepada perjuangan Islam, lebih-lebih lagi Syawal tahun ini kita sambut genap 100 tahun kejatuhan khilafah Islam. Dan para ulama perlu memikirkan apa yang akan berlaku pada 100 tahun yang akan datang.
Allahu Akbar walillahil hamd. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dato Haji Zamri bin Hashim
Pengerusi Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)