BeritaJenayah IslamKenyataan RasmiMalaysiaUmumUtama

Penyelesaian isu kalimah Allah

Jadikan “jihad” sebagai subjek yang dipelajari dalam pendidikan Islam.

Islam tertegak dengan jihad, yang tidak semestinya menggunakan senjata atau peperangan. Jihad bertujuan meninggikan kalimah Allah atas segala slogan, agama dan idea.

Jihad bermula dengan pemikiran, penerangan, penulisan, kemudian memasuki fasa seterusnya iaitu jihad polisi dan peraturan serta tindakan-tindakan yang diperlukan bagi mempertahankan / menyebarkan dakwah Islam kepada semua. Setiap tindakan itu berfasa, dan setiap tindakan berkadaran dengan keperluan yang diperlukan bagi mencapai tujuan jihad.

Akidah dilawan dengan akidah, pegangan denagn pegangan, media dengan media, dan kempen dengan kempen, sistem dengan sistem, begitulah seumpamanya dan seterusnya.

Jihadlah yang akan mengembalikan kejantanan umat Islam, dan kehaibahan mereka ke atas orang kafir. Siapsiaganya mereka untuk berjihad pada setiap masa dan ketika, itu yang akan mengembalikan izzah dan kemuliaan umat Islam.

Hari ini ummah dilembikkan dengan “fiqh at-taayush” yang digunapakai asalnya untuk golongan minoriti muslim yang duduk di negara kafir, bagi menangani diskriminasi yang dikenakan terhadap muslim di sana.

Tetapi malangnya ia juga menjadi sifir utama sebahagian pihak muslim yang duduk di negara Islam, majoriti muslim, diperintah oleh muslim, di mana negaranya juga beragama Islam.

Di sisi mereka, yang penting orang non-muslim kena redha, setuju, angguk, suka, dan hidup aman.

Di sisi mereka, orang muslim yang menjadi punca semua masalah perkauman. Orang muslim yang tidak toleransi, tidak faham kaum lain, tidak teliti agama lain, tidak cuba untuk membina jambatan “engagement” dengan pihak lain.

Di sisi mereka, semua non-muslim di sini baik-baik belaka, ikhlas tulus murni menjaga identiti negara Malaysia, semuanya samada individu atau organisasi, tidak ada sebarang niat buruk terhadap agama Islam, bangsa Melayu, rangka dan konsep negara yang sedia ada.

Sebelum ini mereka pertahankan kegunaan kalimah Allah untuk diletakkan dalam Bible, kali ini mereka cuba pertahankan kalimah Allah yang diletakkan di stokin kaki dengan dakwaan sabotaj dan seumpamanya, seterusnya membersihkan imej ‘kawan’ mereka yang ‘tak perasan’ perkara itu berlaku.

Inilah kemunafikan yang sangat nyata. Segelintir umat sudah menjadi munafik hanya kerana mahu bersahabat dengan orang kafir dan pertahankan kedudukan mereka.

Bagi mereka, sifir yang paling tinggi adalah kekal di atas kerusi, walau digadaikan seluruh maruah umat Islam dan semua ajaran agama Islam, semuanya boleh ditafsirkan sebagai teroris, pengganas, pengacau bilau, dan isu perkauman.

Semua nas-nas Al-Quran yang menunjukkan ciri kafir dan konspirasi mereka terhadap umat Islam telah mereka nasakhkan, atau mereka takwilkan hingga menjadikan mereka bersangka baik pada semua organisasi non-muslim, sehingga mereka sanggup bersahabat baik dengan pembunuh saudara mereka sendiri di Palestin.

Umat kena sedar, bahawa mereka kini tidak lagi berkuasa. Semua sudah dipegang orang lain. Apa yang berlaku adalah hanya fenomena dan kesan daripada hilangnya kekuasaan dari tangan-tangan orang Islam.

Itulah hakikat yang berlaku hari ini, pahit untuk ditelan. Namun mungkin ini pelajaran yang perlu dilalui, dengan bayaran harga yang cukup mahal.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa

Setiausaha Agung

Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *