ADAKAH NORMAL PAMERKAN AMAL IBADAT DI MEDIA SOSIAL?
Budaya mempamerkan amalan ibadat melalui media sosial seakan-akan sudah menjadi normal dalam kalangan umat Islam hari ini. Namun tidak kurang ramai yang mempertahankan perbuatan tersebut dengan berhujah seperti,
“Saya tetap ikhlas walaupun saya pamerkan amalan saya di media sosial”
“Hanya Allah taala sahaja yang mengetahui apakah yang ada di dalam hati saya, don’t judge the book by its cover!”
“Saya buat content ini, supaya lebih ramai yang turut serta lakukan ibadat ini bersama-sama”
Macam-macam lagi jawapan yang diberikan atas alasan untuk membenarkan perbuatan mereka tersebut, tetapi mereka sendiri jualah yang bertanggungjawab di atas niat mereka .
Tetapi perlu diingat, bahawa perkara yang paling bahaya boleh terjadi hasil daripada budaya tersebut adalah jatuhnya seseorang ke dalam hukum riya’. Tidak ada seorang pun para ulamak yang khilaf tentang hukum keharaman dan dosa Riya’.
Apakah maksud Riya’?
Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari, beliau memberikan takrif riya’:
الرياء بكسر الراء وتخفيف التحتانية والمد وهو مشتق من الرؤية والمراد به إظهار العبادة لقصد رؤية الناس لها فيحمدوا صاحبها والسمعة بضم المهملة وسكون الميم مشتقة من سمع والمراد بها نحو ما في الرياء لكنها تتعلق بحاسة السمع والرياء بحاسة البصر
فتح الباري – ابن حجر – (11 / 336)
Maksud riya’ adalah menzahirkan ibadah bertujuan supaya manusia melihatnya lalu mereka memuji orang yang melakukan ibadah tersebut. Sum`ah pula ialah sama dengan riya’ tetapi ia berkaitan dengan pendengaran, manakala riya’ ia berkaitan dengan penglihatan.
(Lihat Fathul Bari Ibn Hajar 11/336)
Di samping itu, Saidina Ali RA juga pernah berkata bahawa ,bagi orang yang riya’ itu ada tiga tanda,
1.Malas jika berseorangan
2.Rajin jika bersama orang ramai
3.Dan bertambah amalannya jika dipuji dan berkurangan amalannya jika dikeji
Media sosial kini telah menjadi sebuah pentas untuk meraih pujian orang ramai melalui hantaran atau klik butang ‘like’ dan ‘share’ untuk pelbagai tujuan. Hal ini jika digunakan pada medan amal ibadat, ia dapat mengundang kepada kerosakan kepada keikhlasan amal ibadat seseorang.
Apa yang terjadi , kadang-kadang usaha merakam video atau mempamerkan ibadat dalam media sosial itu kelihatan lebih bersungguh-sungguh berbanding melakukan ibadat itu sendiri.
Malah kita dapat perhatikan, terdapat ramai pempengaruh yang berbuat demikian atas dasar meraih keuntungan perniagaan daripada tayangan video yang disebarkan itu. Jika hal itu benar-benar berlaku, maka jelas perbuatan tersebut bertentangan dengan perintah agama Islam. Hal ini selaras dengan firman-Nya:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ﴿٣٦﴾ رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧
Maksudnya: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang (36). (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37)
(Surah al-Nur: 36-37)
Dalam suatu hadith baginda ,Nabi SAW melarang umatnya daripada melakukan perniagaan ataupun sebarang unsur-unsur perniagaan di dalam rumah Allah SWT. Disebut dengan jelas di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ
Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu”
Riwayat al-Tirmizi (1321)
Cukuplah ayat Al-Quran dan Hadith tersebut memberi peringatan kepada kita tentang larangan jual beli di rumah Allah.
Kesimpulan
Mempamerkan amal ibadat di media sosial bukanlah bersesuaian dengan sunnah Rasul SAW dan amalan para Salafussoleh terdahulu.
Adapun yang membezakan di antara Riya’ ataupun tidak adalah niatnya. Namun semestinya, perbuatan seseorang hamba itu, tetaplah merupakan cerminan terhadap apa yang terkandung di dalam hatinya.
Syarak sentiasa meletakkan kaedah ataupun dawabit (had dan batasan) yang sama sekali tidak ada kompromi:
1.Jika perbuatan tersebut mengundang kepada Riya’ maka hukumnya jelas haram.
2.Jika perbuatan tersebut tidak jatuh riak, maka hukumnya tidak haram , namun menyembunyikan amal tersebut tetap lebih afdal, untuk menutup pintu fitnah.
Wallahu’alam.
Ustaz Fitri Adnan
Penyelidik, Majlis Ulama ISMA (MUIS)