BeritaDunia IslamIlmiahKenyataan RasmiMalaysiaPolitik IslamUmumUtama

‘Penchinaan Malaysia’ bertentangan dengan Siyasah Syar’iyyah

Struktur kenegaraan Malaysia yang sedia ada telah meletakkan agama Islam, orang Melayu dan institusi beraja sebagai tonggak kenegaraan utama.

Identiti kenegaraan ini merupakan satu rangka yang menepati konsep siasah syariah yang meletakkan agama sebagai identiti dan orang Islam sebagai pemimpin kepada negara ini.

Ulamak terdahulu seperti Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah mentakrifkan negara Islam adalah seperti berikut,

الدار التي نزلها المسلمون وجرت عليها أحكام الإسلام وما لم تجي عليها أحكام الإسلام لم تكن دار الإسلام وان لاصقها.

“Negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya undang-undang/hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam walaupun ia menamakannya sedemikian.” (Lihat Turuq Al-Hukumiyyah)

Manakala ulama kontemporari daripada Al-Azhar seperti Syeikh Abu Zahrah pula, memberi takrifan baharu seperti berikut,

دار الاسلام هي الدولة التي تحكم بسلطان المسلمين, وتكون المنفعة و القوة فيها للمسلمين, وهذه الدار يجب على المسلمين القيام بالذود عنها

“Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Di mana sebarang manfaat dan penguasaannya dikuasai orang Islam. Negara yang demikian itu wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim.” (Lihat, ‘Alaqat Ad-Dauliyah fi Islam: ms56)

Naratif negara Islam moden lebih sesuai dirungkai dalam takrifan kedua oleh Syeikh Abu Zahrah, di mana isu kerangka negara Islam sewajarnya dilihat dari pelbagai perspektif lain, seperti kewarganegaraan dan bumiputera, isu kepemilikan tanah, isu migrasi luar, sistem pemerintahan yang diimport dari luar dan seumpamanya, yang memberi kesan kepada penguasaan dan autoriti kepada umat Islam itu sendiri.

Ini kerana perjalanan negara tidak semata-mata bergantung kepada siapa pemerintahnya, dan apa undang-undang yang dilaksanakan, tetapi ia sangat berkait rapat dengan kuasa wewenang dalam menentukan sesuatu polisi, pengaruh pemodal dan taikun, sistem pemerintahan yang diikuti, termasuk tabiat hubungan antarabangsa dan seumpamanya.

Justeru, jika ada pada hari ini sesuatu perkara yang dibuat bercanggah dengan struktur kenegaraan Malaysia yang asal diwarisi, seperti kepemilikan tanah, makanan warisan kebangsaan, isu bahasa yang dituturkan, serta kemasukan pelancong yang tidak dikawal, ia hakikatnya merupakan suatu perkara yang tidak syarie, tidak menepati konsep siasah syariah, tidak pula menepati rangka kenegaraan yang diwarisi, kerana tidak melaksanakan kehendak syariah dalam hidup bernegara.

Pendek kata, sebarang polisi yang bersifat demikian, sewajarnya ditentang dan ia boleh dianggap ancaman kepada struktur dan identiti kenegaraan yang sedia ada.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *