Manusia melihat dengan jiwanya
إن كلماتنا تظل عرائس من الشمع، حتى إذا متنا في سبيلها دبت فيها الروح وكتبت لها الحياة
“Sesungguhnya kata-kata kita akan kekal menjadi anak-anak patung yang dibuat daripada lilin, hinggalah apabila kita mati (sebagai korban) di jalan memperjuangkannya, ketika itu akan tertiup roh ke dalam anak patung itu, dan tertulislah padanya sebuah kehidupan” – As-Syahid Syed Qutb dalam tulisannya Dirasat Islamiah
Bagi para mujahid, fasa kejelasan agenda dan matlamat hanyalah satu langkah permulaan. Fasa seterusnya adalah fasa pertarungan dan pengorbanan, di mana pada ketika itu ‘idea’ dan ‘agenda’ yang diperjuangkan akan membida harganya, berkadaran dengan bilangan korban yang diperuntukkan.
من عرف قيمة ما يطلب هان عليه مقدار ما يبذل
“Barangsiapa yang mengetahui nilai apa yang diminta, pasti akan hina baginya harga yang perlu dibayar” – Pepatah Arab
Ketinggian harga sesebuah ‘risalah’ yang dibida itulah yang akan menunjukkan wajah murni dan keindahannya di sisi masyarakat awam.
Ketika itu manusia akan tertanya-tanya, mengapa mereka sanggup membayar sesuatu perjuangan dengan harga yang mahal, hingga menjadikan mereka mengkaji, meneliti, membaca dan menyoroti satu persatu perjuangan dan kehidupan para pejuang hingga membawa kepada penerimaan organik yang tertanam dalam jiwa masyarakat.
Mesej dakwah bukan lagi dihebahkan oleh media-media khas anjuran badan-badan dakwah, tetapi ia disebarkan oleh para pempengaruh, artis, media sosial pelbagai peringkat, hingga menjadi arus yang mendokong dan membenarkan serta memenangkan agenda ini.
Kadar penerimaan terhadap sesuatu kebenaran bergantung kepada kekuatan jiwa.
Semakin kuat, tulus dan suci sesebuah jiwa, semakin mudah ia menerimanya, dan semakin kurang ia memerlukan dokongan pembuktian lain terhadap sesebuah kebenaran.
Kisah Abu Bakar As-Siddiq RA membenarkan Rasulullah SAW dalam Isra’ Mikraj adalah contoh yang mudah difahami, bahawa kemurnian jiwa Abu Bakar RA menuntunnya untuk memperakui sesebuah kebenaran tanpa sebarang dalil dan petunjuk sokongan selain daripada kebenaran susuk tubuh baginda SAW.
Demikianlah juga mana-mana manusia, penilaian sebenar bukanlah dinilai dengan statistik, logika akal dan pengetahuan semata-mata, ia adalah suatu penilaian struktural yang bersangkut paut dengan kemurnian jiwa dan ketulusan hati, untuk menanggapi satu perkara yang tinggi dan murni.
Oleh itu, sesuatu kebenaran memerlukan faktor lain bagi menunjukkan ‘wajah kebenarannya’ di mata manusia. Bidaan terhadap harga hingga boleh dilihat sebagai murni, tinggi, bermaruah dan berwibawa perlu dilakukan, dan mesti dibuktikan.
Ia adalah sunnatullah dalam mana-mana perjuangan kebenaran.
Hakikatnya bidaan harga itu (pengorbanan para pejuang) itu adalah lambang manifestasi rahmat Allah SWT terhadap para hamba-Nya, yang hanya mampu menanggapi kebenaran dengan bentuknya yang sudah tersedia dan terpampang indah, boleh dicerap dengan deria dan pancaindera. Ia -ketika itu- bukan lagi dalam bentuknya yang abstrak, tersirat, memerlukan keyakinan peribadi, dan hanya dicerap dan difahami dengan ilham dan mukasyafah.
Bidaan harga terhadap sesebuah perjuangan bukanlah untuk menambahkan keyakinan para pendokong itu terhadap kebenaran, tetapi ia hanyalah medan-medan pembuktian, bagi memberikan nyawa yang setimpal, bagi sebuah hakikat kebenaran.
Manusia yang berjuang akan makin kuat, dan manusia yang ragu-ragu dan culas akan makin menambah keraguan.
“Maka Dia ilhamkan kepada jiwa itu kejahatan dan taqwanya. Telah beruntunglah orang yang mensucikannya, dan rugilah orang yang menodainya” – Surah Asy-Syams
Manusia itu melihat dengan jiwanya,
Dia tidak membuat pemilihan,
Melainkan apa yang direstui jiwanya.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Isma (MUIS)