Kekeliruan Liberal Tentang Pakaian
- Sejak kes Nik Elin dan pembatalan enakmen Syariah Kelantan, ada yang membangkitkan semula isu pakaian wanita muslimah. Katanya di dalam al-Quran tiada perintah memakai tudung.
- Pada hakikatnya, arahan mematuhi etika pakaian adalah pesanan Allah di dalam al-Quran. Menjaga aurat adalah suatu kewajipan sehingga Allah berpesan kepada manusia agar jangan menuruti perintah Syaitan yang menyebabkan pakaian manusia itu tertanggal. Firman Allah:
يَا بَنِي آدَمَ لاَ يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَاتِهِمَا
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka.”
- Perhatikan ayat al-Quran ini yang menjelaskan bagaimana Syaitan itu sifatnya menghasut manusia sehingga menyebabkan pakain mereka terlucut dan terdedahnya aurat mereka. Kebebasan yang diperjuangkan oleh setengah pihak seakan menjurus ke arah ini.
- Bagi wanita Muslimah, kewajipan menutup aurat itu adalah arahan yang telah difardukan oleh Allah. Perkara ini dinyatakan di dalam al-Quran yang menyebutkan:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka (wanita Muslimah) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;” (al-Nur:31)
- Dalam menghuraikan ayat ini al-Imam Ibn al-Jarir al-Tabari menghuraikan bahawa:
وليلقين خُمُرهنّ، على جيوبهنّ، ليسترن بذلك شعورهنّ وأعناقهن وقُرْطَهُنَّ.
“hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutup dada-dada mereka supaya tertutup juga dengan itu rambut, tengkuk dan telinga mereka.”
- Syeikh al-Maraghi turut menghuraikan di dalam tafsirnya yang menyebutkan :
“Wanita pada zaman dahulu menutup kepala mereka dengan khimar (tudung) dan melabuhkan hujung tudung itu ke belakang badan supaya terdedah leher dan dada mereka, seperti kebiasaan zaman Jahiliyyah, lalu mereka dilarang syarak daripada berbuat sebegitu lagi.
- Ketika turunnya ayat ini, Saidatina Aisyah memuji wanita Muhajirin kerana kesungguhan mereka menutup aurat seperti yang telah diwajibkan oleh Allah. Perkara ini diceritakan oleh oleh beliau sendiri dalam riwayat Abu Daud yang menyebutkan:
يرحم الله نساء المهاجرات الأول لما أنزل الله وليضربن بخمرهن على جيوبهن شققن أكثف مروطهن (نوع من الثياب) فاختمرن بها ” .
“Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”
- Perbuatan mempertikaikan etika pakaian seperti yang telah diwajibkan oleh syarak adalah perkara yang ditegah oleh agama. Perkara ini dijelaskan oleh artikel yang dinukilkan di laman Mufti Wilayah yang menyebutkan:
Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah berkata: “Jika seorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233).
- Etika pakaian wanita Muslimah adalah bertujuan menjaga dan memartabatkan kemuliaan wanita. Ia tidak seperti yang digambarkan oleh Sisters seolah etika pakaian menggambarkan wanita itu cacat. Andai sekiranya dalam dunia itu ada peraturan pakaiannya, mengapa peraturan Allah tidak pula mahu dituruti?
Semoga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Timbalan Pengerusi MUIS