ORANG BUKAN ISLAM TIADA HAK MASUK CAMPUR URUSAN MAHKAMAH SYARIAH

1.Cadangan yang dilontarkan oleh Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham untuk melantik panel pengkaji daripada kalangan orang bukan Islam, supaya turut serta menjadi salah seorang panel Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanyalah akan mencetus polemik keharmonian keagamaan di Malaysia. Kerana hal ini sudah jelas mencabuli hak beragama orang Islam seperti mana termaktub di dalam perlembagan Malaysia.
Perkara ini adalah sejajar dengan peruntukan, “Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara serta pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.”
2. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata senarai yang dilantik adalah dalam kalangan pakar dan pengamal undang-undang berkelayakan. Maka YB Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan perlantikkan panel pengkaji daripada kalangan bukan islam, tidak perlu meragui dan berasa risau dengan kredibiliti mereka yang telah dilantik untuk melaksanakan tugasan tersebut.
Jawatan kuasa tersebut adalah jelas bertujuan untuk melaksanakan amalan penggubalan undang-undang Syariah dan menaik taraf mahkamah Syariah, supaya isu pertindihan antara mahkamah Syariah dan mahkamah sivil (termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, dan wasiat,) tidak lagi menjadi sebuah polemik sama ada dalam isu agama mahupun perkauman.
3. Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, “untuk makluman, semua nama anggota bagi jawatankuasa ini telah dimuktamadkan dan pelantikan telah dibuat.
Ia dianggotai bekas Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi, bekas hakim, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, wakil Majlis Agama Islam Negeri dan ahli akademik yang berkepakaran dalam bidang undang-undang, sivil, syariah dan Perlembagaan Persekutuan.”
4. Ngeh Koo Ham berkata, cadangan beliau itu adalah bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat. Namun begitu, apa yang dicadangkan itu sebenarnya telah mempertikai kredibiliti kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan apakah dasar terbaik yang perlu dipinda dan dilaksanakan .Tambahan pula, tidakkah Nge Koo Ham mengetahui bahawa , undang-undang syariah adalah terpakai untuk orang Islam sahaja,maka tidak perlu dan tidak ada keperluan atas cadangan dari Ngeh Koo Ham ini.
5. Kesimpulannya, perlulah diketahui dengan jelas apakah garis merah di antara hak-hak orang Islam dan bukan Islam, beserta larangan-larangan yang tidak boleh dilanggar oleh bukan Islam, supaya sebarang isu yang boleh mencetuskan sensitiviti perkauman dan keagamaan dapat dihindari.
Ustaz Fitri Adnan
Penyelidik, Majlis Ulama Isma (MUIS)