PERANAN UMAT ISLAM DALAM MEMBANTU KEMENANGAN PALESTIN
1.Kita memiliki senjata keimanan kepada Allah subhanahu taala iaitu DOA selain daripada senjata fizikal bagi membantu kemenangan saudara seislam di Palestin. Senjata doa ini tiada siapa pun yang dapat menghalang seseorang untuk mengangkat tangan berdoa. Kita juga tidak tahu antara doa- doa yang kita baca ,antaranya ada doa yang dimakbulkan Allah. Apa yang paling penting adalah kita diminta untuk berdoa untuk saudara seislam kita di Palestin. Ayuh kita mendidik anak-anak berdoa seperti mana doa yang Rasulullah SAW ucapkan ketika mana tentera Islam sedang berada di medan perang .Dalam suatu hadith yang diriwayatkan yang bermaksud,
“Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah sallahualihi wasallam selesai membaca (al-Fatihah dan surah), baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahuliman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”.
Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas daripada kaum mukminin. Wahai Allah, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudharat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf”. (HR Bukhari dan Ahmad)
Keyakinan kepada Allah dalam mengikuti jalan kebenaran merupakan paksi yang utama sehingga mampu membezakan perkara yang halal dan haram yang merupakan tiang utuh dalam perintah agama. Justeru, umat Islam hendaklah terus istiqamah berpegang teguh melaksanakan perintah agama walau apa jua keadaan yang dihadapi.
Pernah ditanyakan kepada Imam ibnu Qayyim ,bilakah kelegaan akan datang? Maka beliau berkata: “Kelegaan itu datang apabila kita tidak mengharapkan pergantungan dan bantuan kepada manusia. Tetapi kelegaan dan kepuasan itu terbit apabila kita berharap dan bergantung kepada Allah SWT.
Nyawa yang kita ada bukan milik kita, tetapi milik Allah SWT. Hakikat sebenarnya adalah apabila kita berada di medan jihad tidak ada jaminan untuk kita masih hidup. Menunggu rasa lega dan puas itu hendaklah diselitkan dengan berzikir kepada Allah, memuji Allah dan meminta kepada Allah agar menyegerakan kelegaan yang ada. Tiada apa yang diharapkan oleh saudara seislam kita di Gaza melainkan mereka meminta kita untuk tidak merasa bimbang kepada mereka kerana mereka ada Allah SWT yang mempunyai sifat penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
2. Mengajar anak- anak menyokong kebenaran. Ia hendaklah ditanam dengan Aqidah yang sahih dan roh perjuangan serta rasa mulia dengan Islam. Begitu juga, kita hendaklah mendidik dan menanam kepada anak-anak agar berlepas diri daripada segala bentuk kesyirikan. Semangat kecintaan kepada negara Palestin juga perlu disuburkan di dalam diri anak-anak. Antara saranan yang boleh dilakukan bersama anak-anak adalah menunjukkan kepada mereka situasi penderitaan anak-anak di sana, semangat perjuangan mereka, perasaan cintakan jihad dan mati syahid.
3.Membuat persiapan diri dapat memberi kefahaman kepada semua orang termasuklah guru-guru, ibu bapa, pekerja-pekerja dan ummah keseluruhannya mengenai isu palestin yang merupakan tanah umat Islam. Bahkan kesedaran untuk membebaskan al-Quds daripada kekejaman dan kezaliman musuh merupakan tanggungjawab semua orang Islam.
4. Menyumbang dari sudut infaq harta, tenaga, masa, idea, penulisan dan pelbagai lagi bentuk sumbangan dan keupayaan yang dimiliki untuk membantu kemenangan Palestin dan Islam secara menyeluruh adalah merupakan kewajiban bersama.
5. Membuat pelaburan dari sudut kepakaran dan kemampuan teknologi yang ada untuk menyampaikan kepada dunia mengenai sejarah dan konflik yang berlaku di Palestin. Kita hendaklah meluaskan maklumat dan kefahaman yang tepat pada setiap penjuru, untuk memberi kesedaran tentang peranan yang perlu dimainkan dalam agenda pembebasan al- Quds. Kesedaran ini tidak bermusim tetapi diikat dengan keyakinan yang tinggi untuk menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam meninggikan agama dan mempertahankan risalah suci ini.
Ustazah Maryam bt Mohd Din
Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)
