Kenyataan RasmiMalaysia

Kerajaan Sepatutnya Mendidik Masyarakat Menghormati Institusi Agama

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) kesal dengan kenyataan pihak kerajaan yang menyatakan bahawa pendapat mufti hanya sekadar pandangan, dan bukan fatwa yang diwartakan, berhubung isu penganjuran konsert Coldplay baru-baru ini.

2. MUIS berpandangan bahawa institusi fatwa dan sosok tubuh mufti yang dilantik secara rasmi adalah satu institusi yang dihormati dan diikuti nasihat dan pandangannya. Lebih-lebih lagi fungsi mufti dalam bidang tugas menasihati pihak kerajaan, dalam perkara-perkara berkenaan hukum syarak.

3. MUIS menuntut pihak kerajaan agar berlaku insaf dan terbuka dengan teguran dan saranan para ilmuwan Islam, lebih-lebih lagi apabila dinasihati oleh pihak yang berautoriti yang dilantik oleh pihak kerajaan sendiri.

4. Kegagalan pihak kerajaan dalam mengikuti saranan pihak agamawan yang terlantik akan menunjukkan bahawa kerajaan hanya menjadikan para mufti sebagai penilai dan pemberi pandangan yang boleh diambil atau ditolak, tanpa ada apa-apa kekangan.

5. Ini juga boleh menunjukkan bahawa kerajaan hanya akan mengikuti saranan pandangan syariah yang sesuai dengan tekak pihak pemerintah, dan akan mengenepikan pandangan yang bercanggahan dengannya.

6. MUIS menegaskan bahawa perilaku ini akan memberi kesan buruk kepada keutuhan dan ketinggian nilai institusi agama, lebih-lebih lagi institusi fatwa yang dijadikan rujukan oleh masyarakat. Umum mengetahui bahawa sesuatu fatwa itu hanya diwartakan selepas melalui pelbagai proses yang panjang, dan adalah tidak wajar untuk ditolak sesuatu pandangan syariah berkenaan hukum semasa itu semata-mata kerana hujjah ia tidak diwartakan.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *