Barang Yang Diambil Dengan Keganasan, Kekerasan, Mustahil Dipulangkan Dengan Diplomasi Dan Rundingan Damai
Kempen Solidariti Palestin sepatutnya membawa wajah perjuangan menentang penjajahan dan pembebasan tanah air yang dirampas, bukan semata-mata isu keamanan dan kemanusiaan
Dalam menanggapi isu Palestin, sepatutnya masyarakat khususnya anak-anak dan pelajar-pelajar di sekolah disedarkan bahawa isu kemanusiaan yang berlaku pada hari ini berpunca daripada penjajahan dan rampasan tanah air yang telah berlaku selama melebihi seratus tahun.
Kita perlu mendedahkan bahawa punca inilah yang membawa kepada segala elemen-elemen keganasan dan tidak wujudnya perikemanusiaan dalam isu Palestin ini.
Justeru setiap masyarakat perlu fahami bahawa pertempuran dan pertembungan yang berlaku dalam peperangan Taufan Al-Aqsa ini adalah pertembungan antara pemilik tanah asal yang dihalau, diusir, dibunuh, ditindas, dikepung, disekat, dengan pendatang haram yang menggunakan kekerasan dan keganasan yang menghalau mereka daripada tempat tinggal mereka sendiri.
Golongan pendatang haram Yahudi ini perlu diajar, dan dilayani dengan keras dan tegas.
Prinsipnya mudah, iaitu ‘barang yang diambil dengan kekuatan, keganasan, kekerasan, mustahil dipulangkan dengan diplomasi dan rundingan damai’.
Inilah cara fikir yang betul, yang sepatutnya diterapkan pada anak-anak kita.
Jika kita berfikir bahawa segala krisis boleh selesai dengan slogan keamanan dan kedamaian, tanpa sebarang gertakan dan amaran yang menakutkan musuh dan menggerunkan mereka, sampai bila-bila rakyat Palestin akan ditindas, dan dihapuskan dari sejarah.
Kepahlawanan, keperwiraan dan kejantanan, itulah hakikatnya yang perlu ditonjolkan dalam isu Palestin ini, kerana itulah hakikatnya yang sedang berlaku, apabila barisan para pejuang dan mujahidin berterusan dalam penentangan (muqawamah) secara sistematik dan strategik, akhirnya berjaya mendapat kejayaan demi kejayaan, dan kemenangan demi kemenangan.
Dengan naratif ini, negara akan memelihara kedaulatannya, dan menjunjung kemerdekaannya. Adapun naratif kemanusiaan, dan slogan-slogan keamanan yang kosong daripada tindakan yang tegas, dan kekuatan yang menggerunkan, hanya menambah galak dan senyuman kepada para penjajah yang siang malam sesuka hati merampas dan menjarah hak dan tanah orang lain.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Setiausaha Agung MUIS