IlmiahKolumnis

Nilai Dan Keagungan karya-karya turath Arab Islam

Bagi saya ia merupakan salah satu warisan terbesar ulama silam di dalam membina peradaban negara dan empayar manusia yang berasaskan wahyu. Membaca beberapa bait ayat di dalamnya boleh membawa anda ke dalam lautan ilmu yang amat luas. Atas itu, kebiasaan karya-karya turath apabila ianya sebagai matan, lalu ia akan di-syarahkan, kemudian di-hasyiahkan, kemudian di-taqrirkan. Sesetengah matan juga ada yang di-nazhomkan, seperti Manzhumah Zamzami dari Matan Niqayah karangan Imam Suyuti.

Khazanah ilmu kita yang berakarkan dari wahyu ini, belum cukup digali semua.

Salah seorang guru saya dalam disiplin ilmu hadith, Dr Sameh Abdullah, pernah menceritakan tentang sebuah gedung di Morocco yang masih tersimpan makhtutat (manuskrip silam) yang masih tidak tersentuh oleh mana-mana pihak. Beliau juga menceritakan bagaimana istilah Hasan-Sahih yang digunakan Imam Tirmizi masih memerlukan usaha istiqra dari keseluruhan karya-karya Tirmizi semata-mata untuk merungkai istilah dari dua kalimah tersebut. Kebanyakkan penulisan thesis peringkat Master dan kedoktoran juga masih giat mentahqiq karya-karya manuskrip turath ini.

Dari sudut lain, perkembangan sudut-sudut ilmu warisan dari ulama silam masih berjalan rancak. Sheikh Abu Musa (dikenali juga sebagai Sheikhul Balaghiyyin) ketika mensyarahkan kitab Dalail Ijaz karya Jarjani, memberitahu kami,

 وانما كلهم يكتبون شيئا, ويتركون فراغات لنا لنملئها نحن بأيدينا

” Sesungguhnya ulama silam semua menulis sesuatu, dan juga meninggalkan kekosongan tertentu, agar kita penuhkan dengan hasil tangan kita sendiri. “

Sebagaimana Imam Suyuti terkejut apabila mendapati betapa kurangnya penulisan secara tersusun dan istiqlal di dalam disiplin Ulum Quran di zaman sebelum beliau (sedangkan beliau hidup kurun ke-10), tidak seperti disiplin ilmu Hadith dan Usul, sehingga membawa beliau kepada penghasilan ‘masterpiece’ nya yang terkenal ; Al-Itqan fi Ulumil Quran. Sebegitu juga perkembangan ilmu dalam disiplin Usul dan Qawaid tafsir perlu mula di-istiqlalkan dari disiplin Ulum Quran pada kurun ke 15 ini sepertimana ditegaskan oleh Sheikh Dr. Mawlay Umar Hammad, dan Dr Musai’d Tayyar.

Khazanah ilmu agama tabiatnya adalah hidup, berkembang dan relevan. Ia mampu berdiri atas asas falsafah dan idealismenya tersendiri.

Tomahan mengatakan khazanah ulama sebagai suatu yang beku dan tidak relevan yang berasal dari idea Pasca-Islamisme, adalah sesuatu yang janggal dan jahil. Amatlah rugi bagi golongan muda yang dambakan intelektual dan pengetahuan, apabila hanya mencari-cari idea sarjana Barat di dalam mentafsir tamadun, kehidupan dan agama.

Ustaz Abdul Rahman bin Mohd Raji

Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *