Hukum qada puasa untuk orang yang telah meninggal dunia.
Assalammualaikum. Saya baru kehilangan anak perempuan yang sudah baligh. Akan tetapi saya terlupa berapa hari anak perempuan saya tinggal puasa. Sejak tahun 2021 belum diganti lagi disebabkan covid, kena makan ubat. Dan tahun 2022 belum sempat ganti. Boleh ustaz tolong saya?
Waalaikumussalam. Innalillahi wa inna ilahi raajiun. Semoga tuan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian kehilangan orang yang tersayang. Terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian dalam permasalahan yang telah diajukan. Pertama, bilangan hari yang telah ditinggalkan tidak dapat dipastikan secara yakin. Dan yang kedua, adakah perlu untuk wali bagi menggantikan puasa atau cukup sekadar membayar fidyah bagi anak yang telah meninggal dunia.
Para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qada kepada dua; tahdidi dan taqribi. Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan. Oleh sebab bilangan hari yang telah ditinggalkan tidak dapat dipastikan, maka kaedah taqribi perlu digunakan bagi menetapkan bilangan hari yang perlu diganti.
Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti telah menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini:
“Adakah telah tinggalkan 50 hari?”
“Terlalu sedikit”
“90 hari?”
“Terlalu banyak”
Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari. Kaedah ini boleh digunapakai bagi memastikan bilangan hari yang telah ditinggalkan dengan membuat anggaran yang munasabah. Contohnya, kadar tempoh haid yang normal bagi seorang anak perempuan sekitar dua ke tujuh hari. Manakala, maksimum tempoh haid adalah 14 hari. Maka untuk mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati, ahli waris boleh membuat anggaran puasa yang perlu ganti sekitar 10 hari.
Seterusnya, bagi menerangkan keharusan bagi wali untuk menggantikan puasa, berpandukan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas;
وعن ابن عباس قال: جاء رجلٌ إلى النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ فقال: يا رسول الله إن أمي ماتت وعليها صومُ شهرٍ، أفأقضيه عنها؟ فقال: “لو كان على أمك دَيْنٌ أكنتَ قاضيه عنها؟ “قال: نعم. قال: “فَدَيْنُ الله أحقُّ أن يُقضَى”.
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas bahawasanya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “Sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (Hadith riwayat Muslim)
Terdapat juga satu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah ra menyatakan:
أن رسول الله ـ صلى الله عليه وسلم ـ قال: “مَن مات وعليه صيام صام عنه وَلِيُّهُ.
Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka hendaklah disempurnakan oleh warisnya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan daripada hadith ini, para ulama berpendapat bahawa kaedah umum bagi seseorang yang telah meninggal dunia, maka wajib bagi walinya untuk menggantikan puasa baginya. Namun begitu, terdapat beberapa pandangan yang membolehkan ahli waris untuk sekadar membayar fidyah dengan kadar secupak bagi setiap hari yang telah ditinggalkan. Sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar:
مَن مات وعليه صيام شهر فلْيُطعم عنه مكان كل يوم مسكينًا
Maksudnya: “Barangsiapa yang telah meninggal dunia dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka hendaklah sesiapa bagi pihaknya memberi sedekah makanan kepada orang miskin setiap hari”
(Riwayat Ibn Majah)
Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Majmu’ turut menerangkan mengenai perkara ini secara terperinci:
“Sesiapa yang meninggal dunia dan terpaksa menggantikan puasa Ramadan atau sebahagian daripadanya, maka terdapat dua keadaan:
[Pertama] Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie (seperti sakit, terlalu tua atau musafir), dan keuzurannya berterusan sehingga dia meninggal dunia, maka tidak awajib kepada ahli warisnya untuk berpuasa atau mengeluarkan fidyah bagi pihaknya. Perkara ini tiada perselisihan bagi kami.
[Kedua] Jika dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati, maka terdapat dua pendapat: (1) Wajib untuk membayar fidyah sebanyak satu mud (cupak) bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak sah walinya berpuasa bagi pihaknya. Ini pendapat yang paling masyhur dan benar. (2) Dibolehkan bagi wali berpuasa bagi pihaknya dan juga sah jika wali membayar fidyah bagi pihaknya. Tetapi wali tidak wajib berpuasa, melainkan terpulang kepada kemahuannya.”
Kesimpulannya, wali perlu melunaskan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia dengan mengeluarkan fidyah atau berpuasa sebanyak bilangan yang tertunggak. Namun begitu, jika bilangan hari tidak dapat dipastikan, maka pihak wali boleh membuat anggaran yang munasabah. Selain daripada itu, boleh juga ditanya kepada mufti negeri masing-masing untuk kepastian lanjut.
Semoga usaha kita untuk mengqada puasa-puasa yang lalu menjadi muhabasah kita untuk meraih kebaikan yang lebih besar daripada Allah SWT pada masa akan datang.
Wallahua’lam
Ustazah Siti Nurunnajwa Shamsudin
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)