SEMPENA KEMERDEKAAN KE-66 : KEBEBASAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Kemerdekaan menurut kamus dewan bahasa adalah bebas daripada penjajahan dan ikatan serta mampu berdiri sendiri tanpa bergantung dari yang lain. Bangsa yang merdeka adalah bangsa yang mampu berdiri dari segenap aspek ekonomi, undang-undang, politik, sosial, pendidikan, pertahanan, media dan sebagainya. Ini disokong oleh pandangan Za’ba bahawa kemerdekaan adalah keupayaan membebaskan diri dan pemikiran daripada perkara yang boleh melalaikan dari perintah Allah. Sepertimana dalam Firman Allah Surah Adz Dzariyat: 56 “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaku”. Ayat ini jelas menunjukkan sebuah bangsa harus memiliki kemerdekaan demi mendapatkan kebebasan dalam beribadah dan melaksanakan perintah Allah. Penjajahan era moden tidak lagi menggunakan senjata dan bala tentera, bahkan menggunakan hiburan yang melemahkan pemikiran dan jati diri anak bangsa.
Kemerdekaan di Malaysia adalah satu nikmat Allah yang wajib kita syukuri. Syarak menuntut agar seorang muslim berusaha bersungguh-sungguh memposisikan dirinya di dalam memakmurkan bumi Allah. Firman Allah dalam Surah al-baqarah: 30
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”.
Tugas utama kita sebagai khalifah Allah dan pewaris negara adalah memakmurkan bumi Malaysia yakni mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan kehormatan bangsa agar berdiri setara bahkan mampu memimpin bangsa-bangsa lain sehingga agama Islam bebas diamalkan di atas muka bumi ini.
Bangsa yang tidak sedar akan tanggungjawab sebagai khalifah akan mengakibatkan bangsa itu tidak rasa dijajah dan terus dibelenggu dengan pemikiran barat yang mementingkan dunia dan mengasingkan agama daripada kehidupan seperti kefahaman liberalism, materialisme, kapitalisme, sekulerisme, individulisme, dan hedonism. Ia akan menyebabkan pemikiran dan kekayaan alam kita akan terus didominasi bangsa lain sehingga kita terus hidup dalam sistem riba yang menyebabkan kemiskinan, pengangguran, salah laku jenayah dan kepincangan sosial dalam masyarakat. Justeru, sebagai bangsa yang bebas merdeka, kita perlu sedar akan tanggungjawab menguatkan jati diri sendiri dan masyarakat. Sheikh Mustapha Masyhur mengatakan bahawa “Perbaikilah diri kamu dan serulah orang lain.”
Allah berfirman dalam surah At-Taubah: 105
“Dan katakanlah wahai Muhammad, bekerjalah kamu maka sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan”.
Ayat ini menegaskan keperluan beramal dan bekerja untuk kebaikan dunia dan akhirat. Kerena itulah tujuan penciptaan manusia di dunia.
Kerja membina ummat yang bebas merdeka dan bertamadun ini sudah tentulah memerlukan perpaduan dan kekuatan ukhuwwah islamiyyah.
Menurut Abdullah Nasih Ulwan, ukhuwah Islamiyah adalah tautan perasaan kasih sayang yang menerbitkan rasa hormat terhadap insan lain berasaskan kekuatan aqidah dan nilai-nilai dalam agama. Titik persamaan dalam kalangan umat Islam itu diraikan agar perkara yang mampu membawa kepada bibit perpecahan ummah dapat dielakkan. Dan jika berlaku perpecahan, ia perlu diurus dengan sebaiknya agar tidak menjadi barah yang boleh merosakkan imej Islam. Pertelingkahan dalam kalangan umat Islam samada dari kalangan rakyat mahupun pimpinan politik perlulah dielakkan agar perpaduan dapat dikukuhkan. Contoh teladan ini dapat melahirkan kepimpinan Islam yang adil dan dihormati serta masyarakat yang gemilang.
Perkara ini adalah seperti yang termaktub dalam firman Allah:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (Surah Ali Imran: 103).
Membina jati diri, melaksanakan dakwah dan mengukuhkan perpaduan ukhuwwah islamiyyah ini adalah asas dalam membangun peradaban manusia yang mencerminkan ketaatan kepada nilai-nilai ketuhanan. Imam An-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ mengatakan bahawa wajib bagi umat Islam untuk bekerja, bersikap produktif, berdiri sendiri tanpa bergantung kepada umat lain. Di dalam kita beramal, Islam memerintahkan agar kita sentiasa bersederhana dan adil (wasatiyyah) serta tidak melampaui batas syarak (ghuluw). Wasatiyyah yang tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah akan membawa kepada perpecahan umat seperti yang berlaku di Iraq, Syria, Afganistan dan lain-lain.
Sempena kemerdekaan yang ke 66 ini, marilah kita mengikut sunnah Ar-Rasul untuk memelihara kemerdekaan dengan menjadi umat yang wasatiyyah iaitu adil dalam pemikiran dan tingkah laku membangunkan negara serta bebas dari ikatan nafsu. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Surah al-A’raf: 96).
Ustazah Nasyitah Farhanah bt Johari Faisal
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)