Umum

Almarhum Us Dr Soberi – Tuan Guru kami yang disegani..

Perkenalan saya pertama kali dengan Almarhum Ustaz Dr Soberi Awang adalah sekitar tahun 2001, di usia 16 tahun.

Kami sekumpulan anak-anak murid dibawa oleh Ustaz Mohd Rusdi Alias dan Ustaz Zaidi Jalil berjaulah di Port Dickson.

Antara sesi yang disusun adalah tazkirah subuh di rumah Almarhum Ustaz. Kami ke rumah beliau sebaik solat subuh berjemaah di Masjid berdekatan. Saat itu belum lagi pernah dengar apatah lagi mengenali beliau.

Rumah beliau sangat sederhana dan kami semua bersimpuh beramai-ramai mengelilingi beliau yang juga duduk bersama kami. Ustaz tidak banyak bercakap cuma sangat ramah dan memuliakan tetamu kami para remaja ketika itu.

Masih segar dalam ingatan saya, di sepanjang Almarhum Ustaz sedang menyampaikan tazkirah kepada kami, mata saya sangat mengantuk dan boleh pula saya duduk secara menongkat kaki di depan beliau. Cubalah juga nak lawan ngantuk, tapi gagal sampai mengangguk-angguk kepala lah juga.

Tapi yang peliknya, alhamdulillah. Isi tazkirah Almarhum Ustaz sangat saya ingat satu demi satu, iaitu cerita tentang tafsir Surah Yasin; ayat 20: “وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ”

Saya boleh ingat satu persatu apa yang Almarhum Ustaz ceritakan berkenaan seorang hamba Allah yang soleh bernama Habibun Najjar dari kaum Bani Israel yang bersungguh dan segera dalam menyampaikan seruan dakwah kepada kaumnya digambarkan dengan “berlari-lari anak secara segera”.

Bila saya renung semula, saya kata: “Mungkin inilah yang dikatakan ikhlas dalam amal. Biarpun sudah lama dan sebentar sahaja tazkirahnya, tapi segar dalam ingatan”. Allah kurniakan barakah dalam ilmu dan amalnya. Subhanallah.

Cuma adalah kisah lanjutan daripada itu lagi. Selesai sahaja kami berziarah dan menjamu sarapan pagi di rumah Almarhum Ustaz, Ustaz Rusdi kumpulkan kami dan beliau sebut nama saya:

“Salman, Enta tadi tak jaga adab depan tuan guru yang sedang sampaikan tazkirah.” “Ustaz Soberi tu orang alim yang orang berebut nak belajar tadah ilmu dengan dia, ini enta boleh tidur depan-depan dia”, sambung ustaz lagi. Saya hanya boleh angguk faham dan meminta maaf waktu itu. Momen ini pun masih segar dalam ingatan saya. 😅😇

Semenjak peristiwa itu, saya terus jadi segan dan letakkan Almarhum Ustaz di makam tuan guru. Aura peristiwa tahun 2001 itu sangat membekas.

Agak lama saya tidak bersua dengan Almarhum Ustaz, sehinggalah saya pulang semula dari Mesir sekitar 2011. ISMA cawangan DHL (kini Bangi) ada anjurkan Daurah Usul Fiqh khusus kepada ahli-ahli yang tidak dari latar belakang pengajian Islam sekitar tahun itu. Saya turut hadir untuk bantu sama dalam sesi pembelajaran dan diskusi.

Masih saya simpan gambar kelas pengajian Almarhum Ustaz di pejabat Isma DHL itu.

Almarhum seorang yang sangat merendah diri dengan ilmunya dan warak dalam butir kata-katanya. Ini jelas dan dipersaksikan oleh semua mereka yang bersama dengan Almarhum Ustaz terutama anak-anak muridnya.

اللَّهمَّ إنَّه في ذمَّتِكَ وحبلِ جوارِكَ فقهِ من فتنةِ القبرِ وعذابِ النَّارِ أنتَ أهلُ الوفاءِ والحمدِ اللَّهمَّ فاغفر لهُ وارحمهُ إنَّكَ أنتَ الغفورُ الرَّحيمُ

~ Salman es Farisi

Sumber : (8) Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *