Mengenang Almarhum Ustaz Dr. Soberi Awang – Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Ayat al-Qur’an terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan Kuliah Subuh pagi tadi adalah:
وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
Maksudnya: “…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. [Surah Ibrahim: 48]
Saya amat terkejut dengan pemergian sahabat lama saya, Ustaz Dr. Soberi Awang pada Subuh hari ini.
Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah.
Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ؛ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا عَسَلُهُ؟ قَالَ: يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ، ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, maka Allah memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-Nya?” Baginda bersabda, “Allah berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian Allah cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).”
Riwayat al-Tirmizi (2132), Ahmad (12214), Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah (393) dan Abu Ya’la (3756). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih mengikut syarat al-Syaikhain.
Saya telah mengenali sosok tubuh almarhum Dr. Soberi ini sejak tahun 1990-an lagi ketika saya melanjutkan pengajian Sarjana di Damsyik, Syria. Kami mengenali beliau sebagai anak muda yang sentiasa bersemangat dalam dakwah, dan mempunyai tahap keilmuan yang tinggi.
Hubungan kami bertambah rapat apabila beliau menjadi pensyarah di kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson, bersama-sama saya.
Masih jelas di ingatan usaha saya, bersama-sama beliau dan juga al-Fadhil Ustaz Muhammad Nafis bin Berhan berhempas pulas memperjuangkan penubuhan program Diploma Pengajian Islam bagi Kolej UNITI. Alhamdulillah, ia kekal sehingga ke hari ini.
Persahabatan kami diteruskan lagi apabila kami berdua berpindah dan meneruskan kerjaya di Universiti Sains Islam Malaysia – USIM. Beliau kekal di sana dan saya meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
Seingat saya, pernah beliau hadir bersama-sama Prof. Dr. Aznan Hassan mewakili Majlis Ulama ISMA bertemu saya semasa saya masih menjawat jawatan Mufti.
Saya menjadi saksi bahawa beliau adalah seorang yang gigih dalam usaha dakwah kepada masyarakat serta amat mendalam ilmunya khususnya ekonomi Islam.
Sesungguhnya, kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.
Atas nama persahabatan yang dibina sekian lama, maka saya mengambil keputusan menziarahi keluarga beliau dan jenazah almarhum di Hospital Shah Alam sebentar tadi.
Mewakili Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan seluruh warga USIM, saya menzahirkan ucapan takziah dan berdoa kepada Allah, semoga Allah menempatkannya bersama dengan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.”
Sumber: Facebook Rasmi Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri