KolumnisMunasabat Islam

Sambutan 10 Hari Pertama Zulhijjah Yang Kurang Diambil Berat: Apa Peranan Kita?

Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah

Apakah keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah ini? Mengapakah hari-hari ini tidak disambut dengan meriah sebagaimana hari-hari di bulan Ramadan disambut dan dinanti-nanti ketibaann ya? Sedangkan 10 hari pertama Zulhijjah ini adalah sangat istimewa di sisi Allah S.W.T. Amat sayang sekali kerana masih ramai di kalangan kita tidak menyedari akan kelebihan 10 awal Zulhijjah ini. Bahkan, ramai yang menyangkakan bahawa ibadah pada bulan Zuhijjah hanya berkisar ibadah haji dan korban semata-mata, menyebabkan hari-hari ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Antara keistimewaan 10 hari permata Zulhijjah adalah: firman Allah dalam Surah al-Fajr ayat 1-2:

وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2

Maksudnya: Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh.

Menurut Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubair, Mujahid dan ramai kalangan ulama salaf dan khalaf bahawa yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat ini ialah sepuluh hari awal Zulhijjah (Tafsir Ibn Kathir). Allah S.W.T hanya bersumpah dengan sesuatu yang agung. Apabila Allah bersumpah dengan sepuluh hari Zulhijjah tersebut, pasti hari-hari ini adalah hari-hari yang mulia di sisi Allah.

Rasulullah S.A.W pula bersabda:

ما من أيَّامٍ العملُ الصَّالحُ فيهنَّ أحبُّ إلى اللهِ من هذه الأيَّامِ العشرِ. قالوا: يا رسولَ اللهِ ولا الجهادُ في سبيلِ اللهِ؟ فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: ولا الجهادُ في سبيلِ اللهِ إلَّا رجل خرج بنفسِه ومالِه فلم يرجِعْ من ذلك بشيءٍ

Maksudnya“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah, al-Tirmizi)

Amalan soleh yang dimaksudkan dalam hadith ini merangkumi segala perkara baik yang disukai Allah seperti solat, puasa, sedekah, membaca al-Quran, zikir, berdoa, tolong-menolong, menuntut ilmu, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang susah dan sebagainya.

Menurut al-Imam Ibn Hajar;

والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره

“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.” (Fath al-Bari)

Peranan terhadap diri

Segala tindakan adalah bermula dengan kefahaman. Justeru, kita hendaklah mengkaji dan memahami kelebihan-kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah ini. Setelah kita meyakininya, hendaklah kita berdoa agar Allah memberikan kita kekuatan dan keazaman untuk beramal pada hari-hari yang mulia ini.

10 hari pertama Zulhijjah ini sepatutnya menjadi medan untuk mengekalkan momentum ibadah dan taqwa daripada tarbiyah ketika bulan Ramadan. Jika semasa Ramadan, kita meletakkan sasaran qiyamullail, tilawah al-Quran dan sedekah, maka perkara yang sama perlu kita lakukan ketika 10 awal Zulhijjah ini. Ketika Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam bagi mendapat lailatul Qadr, maka ketika 10 hari pertama Zulhijjah ini hendaklah kita berusaha sebaik mungkin melakukan amal soleh.

Ketika hari Arafah, hendaklah kita berpuasa dan berdoa bersungguh-sungguh. Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. (Riwayat Muslim)

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. (Riwayat al-Tirmizi)

Kemuncaknya adalah ibadah korban. Allah S.W.T telah berfirman: 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”(Al Khausar: 2)

Kita perlu menyedari bahawa ibadah ketika bulan Zulhijjah ini tidak terhad kepada ibadah haji dan ibadah korban semata-mata. Akan tetapi, bagi mereka yang masih belum direzekikan untuk menunaikan haji dan melakukan ibadah korban, ketahuilah peluang keemasan untuk meraih pahala yang besar di sisi Allah terbuka luas pada hari-hari yang mulia ini.

Peranan terhadap keluarga

Sebagai ibu bapa, hari-hari kebesaran Islam ini hendaklah diterapkan ke dalam jiwa anak-anak sedari kecil. Ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh supaya menjadi ikutan anak-anak. Sebelum tiba bulan Zulhijjah lagi, anak-anak perlu dipersiapkan untuk menyambut ketibaan bulan Zulhijjah. Suasana rumah perlu dihidupkan dengan ruh ibadah sepanjang masa. Tahlil, Tasbih, Tahmid dan Takbir hendaklah diperbanyakkan, seperti dalam sabda Rasulullah s.a.w:

Diriwayatkan dalam Musnad al-Imam Ahmad, daripada Ibnu Umar R.A, daripada Nabi S.A.W, baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ: هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ

“Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakkanlah tahlil, takbir, dan tahmid kepada-Nya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Ketika tibanya 10 Zulhijjah pula (iaitu ketika Hari Raya Korban), anak-anak hendaklah dibawa melihat penyembelihan haiwan korban dan diterapkan makna pengorbanan yang sebenar. Alangkah sayangnya, hari raya Korban ini jika hanya disambut dengan bergembira semata-mata tanpa memahami makna disebalik pensyariatannya.

Peranan terhadap masyarakat

Kita boleh mencontohi masyarakat arab yang berlumba-lumba memberikan peringatan tentang kedatangan hari yang mulia ini. Pengalaman peribadi saya semasa belajar di Mesir menyaksikan sebelum tiba 1 Zulhijjah, rakan-rakan sekuliah berlumba-lumba memberikan tazkirah tentang kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah ini. Ketika 1 sehingga 9 Zulhijjah, suasana masyarakat adalah seperti suasana Ramadan, kami mendapati kedai-kedai makan agak lengang daripada biasa kerana rata-rata masyarakat berpuasa. Masing-masing sibuk menghidupkan hari-hari mulia ini dengan amalan soleh seperti membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, menambahkan solat-solat sunat dan lain-lain.

Seharusnya budaya positif dari kalangan masyarakat Arab ini kita ambil dan terapkan dalam masyarakat kita yang masih kurang kesedaran tentang kelebihan-kelebihan 10 hari ini. Aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen sempena sambutan Zulhijjah hendaklah diperbanyakkan di semua peringkat samaada di masjid, sekolah atau kawasan kejiranan. Majlis berbuka puasa perdana boleh dianjurkan bagi meraikan mereka yang berpuasa sunat.

Pempengaruh-pempengaruh di media sosial perlu lebih memperbanyakkan konten yang mengajak pengikut-pengikut mereka bersama-sama meningkatkan amal ibadah ketika 10 awal Zulhijjah ini.

Bayangkan jika setiap dari kita memainkan peranan mengwara-warakan ketibaan bulan Zulhijjah ini, pastinya lebih ramai umat Islam yang akan cakna tentangnya, maka kesan baik dan positif akan dapat dirasakan dalam masyarakat. Masyarakat akan lebih dekat dengan Allah S.W.T, kemaksiatan pula akan berkurangan. Ini akhirnya akan menambahkan barakah dan rahmat Allah Taala ke dalam negara yang kita cintai. Wallahu A’lam Bissawab.

Ustazah Raihana Zainal Abidin

Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *