Aqidah

Mendambakan Keuntungan Daripada Sumber Yang Haram Boleh Menjejaskan Akidah

Islam menetapkan halal haram demi bertujuan menjaga maslahat manusia agar tidak terjerumus ke dalam kancah kebinasaan di dunia, sebelum dipersoal di akhirat nanti. Atas dasar itu ulama ahli sunnah wal jamaah menetapkan bahawa yang baik itu adalah apa yang dikatakan baik oleh syarak, dan yang buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh syarak.

Konsep dalam Islam : Segala larangan dan suruhan adalah kerana maslahat dan mafsadah. Suruhan sesuatu perkara mengandungi maslahat, dan larangan sesuatu perkara kerana ia mengandungi mafsadah.

Sekiranya kita mula meletakkan baik dan buruk di luar perkiraan syarak, yakni kita meyakini bahawa perkara-perkara yang haram juga boleh membawa keuntungan dan kebaikan, maka ia boleh menjejaskan akidah kita kerana kita seolah menyatakan apa yang Allah haramkan ke atas manusia adalah baik untuk manusia. Ia membawa konotasi bahawa Allah telah berlaku zalim dan meletakkan suatu bukan pada tempatnya.

Perihal dunia hari ini yang sarat dengan kecelaruan kefahaman agama sangat memerlukan kepada satu penegasan yang jelas terhadap konsep halal dan haram, serta segala saranan dan polisi negara sepatutnya menjurus kepada perkara yang sama. Umat sepatutnya dijelaskan bahawa setiap larangan khususnya jika arus songsang itu dijadikan normal dan dibiarkan, ia memberikan kesan yang sangat besar kepada komuniti dan masyarakat serta identiti negara itu sendiri. Kerosakan itu bukan sahaja melibatkan moral dan identiti, tetapi ia hakikatnya membawa kepada ancaman terhadap kedaulatan dan identiti kenegaraan itu sendiri.

Justeru saranan agar melihat keuntungan material semata-mata sebagai ukur untung rugi, dan mengenepikan panduan syarak, akhirnya akan menatijahkan pemisahan agama dari kehidupan, serta pengecilan skop agama yang sangat terhad pada sudut hal ehwal keluarga, nikah kahwin dan seumpamanya.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Setiausaha Agung MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *