DakwahKolumnisMunasabat Islam

Moga Amal Kita Diterima !

  1. Nabi Ibrahim AS pernah menunjukkan kita bahawa setiap amal soleh yang dilakukan itu tidak akan sampai kepada Allah SWT kecuali apabila diterima. Baginda bersama Nabi Ismail AS berdoa agar Allah Taala terima amalnya selepas membina tapak Kaabah.

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

 “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

[Surah Al-Baqarah: 127]

2. Al-Imam Ibnu Kathir juga menggambarkan bagaimana perihalnya para salafussoleh apabila mengharapkan amal-amal soleh mereka ini diterima oleh Allah SWT.

Abu Darda’ pernah berkata ;

Aku amat meyakini bahawa sekiranya Allah Taala menerima salah satu daripada solatku, maka ia lebih baik daripada dunia dan seisinya. Kemudian beliau membacakan surah Al-Maidah, ayat 28 ;

(إنّما يتقبّل الله من المتّقين)

“Hanyasanya Allah SWT menerima (amal) dari orang-orang yang bertakwa”

3. Ibnu Rejab pernah menukilkan dalam Kitab Lathaiful Maarif mengenai bagaimana kerisauan para salafussoleh sekiranya amal-amal soleh yang mereka usahakan ketika bulan Ramadan tidak diterima oleh Allah SWT.

Saiyidina Ali R.A pernah berkata :

كونوا لقبول العمل أشدّ اهتماماً منكم بالعمل , ألم تسمعوا الله عزّ وجلّ يقول : (إنّما يتقبّل الله من النتّقين) <المائدة : 28>

“Jadilah kalian orang yang paling mengambil berat soal penerimaan amal berbanding daripada amal yang dilakukan. Tidakkah kalian pernah mendengar firman Allah azzawajalla “Hanyasanya Allah akan menerima (amal) dari orang-orang bertakwa” (Surah al-Maidah : 28)”

Berkata Malik bin Dinar:

الخوف على العمل أن لا يتقبّل أشدّ من العمل

“Kerisauan terhadap amal itu tidak diterima lebih merisaukan berbanding (perbuatan) amal itu sendiri”

Berkata ‘Atha As-Salimi:

الحذر الاتقاء على العمل أن لا يكون لله

“Awas, elakkan suatu amal itu yang bukan kerana Allah SWT”

4. Maka bukanlah pelik apabila sebahagian salafussoleh itu, mereka akan berdoa kepada Allah sepanjang enam bulan untuk dipertemukan dengan bulan Ramadan, kemudian mereka berdoa enam bulan selepas Ramadan agar amal mereka diterima.

5. Sebahagian salafussoleh menzahirkan rasa sedih dan hiba apabila berakhirnya bulan Ramadan. Perasaan sedih adalah disebabkan mereka tidak tahu apakah amalam mereka diterima ataupun ditolak. Mereka akan saling mendoakan antara satu sama yang lain.

تقبل الله منا ومنكم صالع الأعمال

Semoga Allah menerima daripada kami dan kalian amal-amal soleh (pada bulan Ramadan)

6. Oleh itu, kita telah melihat bagaimana Nabi Ibrahim berdoa dan mengharap agar amal-amalnya diterima, begitu juga kebimbangan yang dinyatakan oleh para salafussoleh, jadi bagaimana pula dengan kita. Sudah pasti kita lebih mengharapkan agar amal soleh kita diterima oleh Allah. Mari perbanyakkan doa semoga Allah terima amal kita semua.

Wallahua’lam

Ustaz Abdul Halim bin Ismail

Penyelidik MUIS

Leave a Reply