Benar, Puasa Dapat Mencegah Penyakit kronik !
Puasa pada bulan Ramadan bukan sahaja mendidik umat Islam menahan diri daripada makan dan minum tetapi turut menahan diri daripada melakukan perbuatan mungkar seperti bertengkar, menipu, berkata-kata yang tidak berfaedah.
Amalan puasa ini adalah untuk memperbaiki hubungan antara hamba dengan Allah Taala. Sekiranya hubungan hamba dan Allah baik, tentu hubungan hamba dan hamba yang lain akan jadi baik juga. Andai hubungan dengan Allah tidak baik, nescaya tidak akan dapat dijaga hubungan baik dengan makhluk yang lain.
Doa juga makbul ketika sedang berpuasa, tidak kira samada puasa Ramadan mahupun puasa sunat. Maka ambillah kesempatan untuk berdoa ketika sedang berpuasa. Yakinlah bahawa doa itu akan dimakbulkan. Begitulah perkaitanan rapat antara amalan puasa dengan berdoa.
Hadis ini diriwayatkan dari Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW telah bersabda,
“Tiga orang yang doanya tidak akan tertolak iaitu : pemimpin yang adil, seseorang yang berpuasa sampai dia berbuka, serta doa orang yang dizalimi. Allah akan mengangkatnya di bawah naungan awan pada hari kiamat. Pintu-pintu langit akan dibukakan untuknya seraya berfirman: Demi keagungan-Ku, sungguh Aku akan menolongmu meski setelah beberapa saat.” (HR At-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad. Hadis hasan.)
Terdapat banyak kelebihan dalam puasa itu. Dunia perubatan pun telah membuat kajian dan bersepakat mengatakan bahawa terdapat kelebihan tertentu dalam bentuk kesihatan kepada mereka yang berpuasa. Kita menghabiskan kebanyakan daripada kehidupan kita dengan memakan makanan sepanjang hari. Proses penghadaman dalam badan kita sebenarnya memenatkan dan sesekali ia memerlukan rehat. Waktu rehat yang terbaik ialah ketika berpuasa.
Puasa juga boleh dianggap sebagai ubat yang mujarab dan berkesan. Kebiasaannya sesiapa sahaja yang mendapati masalah dirinya, dia akan segera bertemu dengan doktor bagi mendapatkan nasihat. Dia akan meminta doktor agar membantu pada sudut pemakanan agar lebih baik. Maka tentunya doktor akan memberinya ubat yang sesuai dengan penyakitnya. Ubat yang kuat akan diberikan bagi penyakit yang berat.
Sebagai contoh, rawatan kemoterapi bagi pesakit kanser. Nasihat doktor ini memang agak berat. Tapi inilah yang terpaksa dijalani oleh pesakit kanser walaupun akan menggugurkan rambut. Mahu tidak mahu terpaksa terima dengan redha hati kerana rawatan ini boleh membantu mematikan sel-sel kanser yang ada pada pesakit.
Sama pula halnya dengan ibadah puasa. Ia bagaikan ubat untuk ruh dan iman kita. Puasa adalah satu langkah yang agak drastic bagi sesetengah orang, namun itulah ubat yang kuat dan akan memberi kesan yang bagus. Bayangkan kita perlu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang siang hari selama sebulan. Ada negara yang waktu siangnya panjang, maka itulah waktu puasa bagi penduduk di Kawasan tersebut.
Sebahagian non-muslim menggelengkan kepala melihat betapa hebatnya umat Islam ketika berpuasa Ramadan. Jadi, jangan kita sangka ibadah puasa selama sebulan ini senang!
Hakikatnya puasa adalah ubat kepada jiwa kita. Perasan tak kita. Adakalanya ubat yang doktor bekalkan itu tidak sedap, rasa pahit dan sebagainya. Namun kesannya baik untuk merawat penyakit agar kembali seperti keadaan sediakala.
Maka dalam ibadah puasa ini, Allah SWT telah memberikan kita ketenangan jiwa, terasa ringan untuk beribadah serta lebih peka atau sensitif terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Oleh itu, kita dapat menyatakan bahawa ibadah puasa ini pernah difardhukan kepada umat terdahulu dan mereka telah berjaya melakukannya, bahkan telah pun mencapai pelbagai bentuk kejayaan daripada itu.
Sebagaimana Firman Allah dalam surah al Baqarah, ayat 183 yang bermaksud;
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
Sempena kedatangan bulan Ramadan pada kali ini, kita perhebatkanlah doa kita
وأسأل الله الواحد الأحد، الفرد الصّمد، لي ولها ولسائر المسلمين والمسلمات؛ أنْ يُبلّغنا جميعًا شهر رمضان ونحن على خير وعافية، وأنْ يُوفّقنا إلى طاعته فيه وعبادته كما يُحبّ ويرضى، وأسأله سبحانه أنْ لا يُغادرنا هذا الشّهر إلاّ وقد تُقُبِّلت أعمالنا، وأجيبَت دعواتنا، وغُفرت ذنوبنا، وأُعْتِقَت رِقابنا مِن النّار
Ustazah Hayati Zari
Penyelidik, Amjlis Ulama ISMA (MUIS)
Pegawai Aman Palestin Berhad