LELAKI MENJAGA PANDANGAN, PEREMPUAN MENJAGA MALU
Penciptaan lelaki dan perempuan di atas muka bumi ini adalah merupakan arahan Allah Taala untuk mereka menjadi khalifah di atas muka bumi ini dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai manusia yang ditaklifkan untuk beribadah kepada Allah. Keunikan yang ada pada manusia baik lelaki dan perempuan berbanding makluk-makhluk yang lain adalah kerana mereka diberi taklifat dan akal yang sejahtera dipandu pula dengan wahyu untuk menyempurnakan hakikat penciptaan dan kewujudan mereka.
Firman Allah dalam surat Al-An’am ayat 165:
وَهُوَ الَّذِيْ جَعَلَكُمْ خَلٰۤىِٕفَ الْاَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِيْ مَآ اٰتٰىكُمْۗ
“Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah di bumi dan Dia mengangkat (darjat) sebahagian kamu di atas yang lain, untuk mengujimu atas (kurnia) yang diberikan-Nya kepadamu.”
Adam a.s tidak mampu hidup seorang diri, lalu meminta kepada Allah untuk ada peneman di dalam syurga. Allah menciptakan dari rusuk Adam seorang wanita bernama Hawa lalu mereka hidup dengan bahagia di dalam syurga. Kenikmatan dan keseronokan di lalui, namun ujian juga muncul di tengah-tengah kebahagiaan yang mereka hadapi. Mereka tergoda dengan pujukan Iblis untuk melanggar perintah Allah dengan memakan buah larangan, lalu Allah mencampakkan kedua-duanya ke bumi dan mereka bertaubat kepada Allah.
Begitulah hakikat sebuah kehidupan manusia, pastinya akan sentiasa diuji di celah- celah mereka merasakan kebahagiaan dan kenikmatan hidup menjadi milik mereka walhal Adam a.s telah mengajar kita hakikat sebuah kehidupan sejak dari awal penciptaanNya dan Allah telah mengukuhkan kedudukan manusia di bumi untuk memikul Amanah sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Allah telah mengingatkan manusia dengan petunjuk-petunjuk Al Quran bahawa mereka akan dihiasi dengan ujian-ujian berupa hawa nafsu, harta dan kekayaan, keluarga, dan sebagainya.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَٰمِ وَٱلْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔابِ
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).
Dalam menghadapi kehidupan yang pancaroba ini, antara prinsip-prinsip asas dalam menjaga keharmonian dan keutuhan sebuah masyarakat dilihat kepada susuk tubuh lelaki dan wanita yang dipandu dengan petunjuk Al Quran dan role model Rasulullah SAW. Perkara asas bagi lelaki yang merupakan pemimpin dan ketua ialah menjaga dan menundukkan pandangan mereka kepada bukan mahram sesuai dengan mujahadah untuk mereka menjaga anggota yang dekat dengan mereka.Jika ia tidak dijaga dari awal, maka akan memberi kesan yang buruk kepadanya, orang sekeliling dan masyarakat umumnya. Menjaga pandangan ini bukan hanya tertakluk kepada lelaki bujang tetapi juga suami yang telah berkahwin yang telah mempunyai isteri dan anak-anak yang menjadi tanggungjawab dan tanggungannya serta melihat juga kemampuan yang ada padanya perlu ditampung dengan amalan-amalan dan saranan dari Rasulullah SAW supaya mereka sebagai ketua keluarga mampu mengemudi rumahtangga dengan baik.
Pendedahan yang ketara di media sosial seperti gambar bukan mahram yang ditonjolkan, aurat, kehidupan seharian dan lain-lain sangat menguji keimanan dan kehadiran Allah di dalam diri manusia baik lelaki dan perempuan. Mereka yang lemah iman dan mengikuti hawa nafsu mudah untuk terjerumus dalam maksiat dan dosa tanpa ada rasa bersalah. Mereka lupa perkara ini adalah prinsip yang perlu dijaga dari awal iaitu menjaga pandangan mereka dari berbuat maksiat dan sepatutnya mereka perlu mendorong pandangan mereka kepada suami atau isteri yang halal untuk mereka jika sudah berkahwin kerana perkahwinan adalah sebuah tapak dan asas dalam melahirkan mujtamak yang soleh.
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْۚذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْۗإِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Prinsip asas bagi wanita muslimah pula yang perlu disemat di dalam diri yang tidak boleh diabaikan adalah sifat malu yang semakin hari semakin hilang di kalangan mereka. Mereka tidak segan silu menonjolkan apa yang ada pada diri mereka, bahkan perkataan dan perbuatan mereka tidak mencerminkan sifat mereka yang sentiasa dikaitkan dengan malu. Sifat malu yang merupakan sebahagian dari iman adalah pasak dan akar kepada peribadi seorang wanita yang solehah dan fitrahnya yang sentiasa tertutup kecuali kepada yang halal buatnya. Jika hilang malu pada dir wanita, maka akan rosak binasa diri mereka, bahkan generasi yang akan lahir dari rahim mereka. Seperti mana Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada Ummat untuk sentiasa wujud rasa malu yang akan mendekatkan dirinya untuk sentiasa berbuat ketaatan.
إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ”
Jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesukamu!’”
Justeru, kedua-dua sifat ini perlu disebatikan di dalam diri baik lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi kehidupan dunia yang sangat menguji dan mempersonakan manusia yang sentiasa tertarik dengan benda-benda yang terzahir di hadapan mereka. Jika ia tidak diawasi dan disemat di dalam diri, kerosakan demi kerosakan akan berlaku berpunca dari diri mereka sendiri. Oleh itu, dalam memastikan kejayaan susuk tubuh ini , perlu mengambil dan menggenggam saranan dan petunjuk Ar Rasul buat ummat di akhir zaman ini.
Ustazah Maryam Binti Mohd Din
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)