Ibrah Terbesar Di Sebalik Peristiwa Israk dan Mikraj

Peristiwa Israk dan mikraj Rasulullah SAW dari Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin dan dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna dalam sejarah Islam.

Sebaiknya kita sebagai umat Islam perlu merenung hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku sepanjang perjalanan israk dan mikraj dan mengutip hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya.

Ibrah yang terbesar yang berlaku dalam peristiwa Israk dan mikraj ialah berlakunya pensyariatan ibadah solat. Ianya istimewa kerana Allah SWT sendiri yang berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk memaklumkan tentang pensyriatan ibadah tersebut. Dalam hal ini Syeikh Nawawi berkata:
والرُّؤيةُ بِالعينِ في الدُّنيا يقَظةً مخْصوصةٌ به صلّى اللّه عليه وسلّم ولَمْ تَقعْ لِغيره
Maksud: Melihat (Allah) dengan mata kepala di dunia secara sedar itu adalah kekhususan bagi Nabi Muhammad SAW, dan tidak pernah terjadi bagi selain beliau.
Jika dibandingkan dengan pensyariatan ibadah-ibadah lain, kebanyakannya hanya disyariatkan melalui firman Allah SWT.

Justeru umat Islam sepatutnya perlu merasakan bahawa ibadah solat ini sangat besar fungsinya dalam hidup setiap manusia. Antara hikmah pengamalan ibadah solat ialah:

Melatih manusia menjadi seorang yang berdisiplin kerana kita perlu peka dengan setiap waktu-waktu solat yang ada dan setiap waktu solat mempunyai masa-masa tertentu yang perlu dijaga. Tidak boleh tercepat atau terlambat dari garis masa yang ditentukan. Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksud: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Al-Nisa:103)

Memupuk amalan menjaga kebersihan kerana kebiasaannya kita akan berwudhu setiap kali hendak menunaikan solat. Jadi secara tidak langsung, amalan berwudhu tersebut membersihkan diri kita sebanyak lima kali dalam sehari seperti firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلٰوةِ فَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكُمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوْا بِرُءُوْسِكُمْ وَاَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِۗ
Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan solat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kedua kakimu sampai ke kedua buku lali.
(Al-Maidah: 6)

Menjadi benteng pertahanan daripada melakukan maksiat. Hal ini dapat dibuktikan melalui firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksud: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.
(Al-‘Ankabut: 45)
Justeru untuk mengawal diri kita daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, umat Islam perlu sentiasa istiqamah menjaga solat supaya kekal diatas jalan kebenaran dan kebaikan.

Menjadi sesi luahan perasan dengan sang pencinta. Alangkah bertuahnya kita sebagai umat Islam yang disediakan masa yg khas untuk meluahkan segala apa yang kita rasa kepada Dia yang Maha Mendegar dan Maha Berkuasa. Bayangkan, jika sesi kaunseling yang disediakan diluar sana memerlukan temu janji yang khusus, boleh jadi kaunselor tidak faham apa yang kita sampaikan. Hal ini berbeza dengan Allah SWT yang Maha Mengetahui apa yang terbuku dihati kita. Maka, sebagai umat Islam sepatutnya kita merasa bertuah kerana Allah selaku khaliq sendiri yang telah menentukan appointment untuk berjumpa dengan makhlukNya.

Semoga kita semua diberikan peluang dan kekuatan untuk terus beribadah kepada Allah SWT dan menjadi asbab untuk kita dipilih menjadi penghuni syurgaNya seperti sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksud: Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika elok solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi.
Riwayat al-Tirmizi (413)

Ustazah Hidayatul Sakinah binti Mohd Zulkifli

Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *