Perlukah Muslim Menyambut Tahun Baharu Cina?

Selang dua rumah dari rumah kami, tinggal sepasang suami isteri berbangsa Cina yang sudah agak berusia. Si suami meniaga di Pasar Borong Selangor dan isterinya bekerja di sebuah sekolah di Bandar Tasik Selatan. Sehari sebelum Tahun Baharu Cina, si suami masih lagi sibuk menguruskan barang-barang niaganya. Kebetulan terserempak di lif ketika beliau ingin ke pasar.

Katanya setiap kali Tahun Baharu Cina, sambutan sederhana sahaja. Beliau tidak ke mana-mana dan kampung beliau pun dekat sahaja di Kuala Lumpur. Makan besar memang jadi kewajipanlah. Berkumpul dengan anak-anak, menjamu selera dan bertukar cerita.

Sebagai jiran, kami sekeluarga berusaha menyantuni mereka dengan selalu bertanya khabar dan bertukar juadah. Tuntutan Islam melalui Al-Quran dan Hadis memerintahkan kita untuk memuliakan jiran tetangga. Antaranya dalam Surah An-Nisa’ ayat 36 dan hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Memuliakan dan berbuat baik kepada jiran, tidak mengira agama dan bangsa sudah jelas hukum dan tuntutannya. Walaubagaimanapun, bagaimana pula jika menyambut perayaan mereka?

Perlukah Muslim Menyambut Tahun Baharu Cina?

Secara prinsipnya, umat Islam hanya menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Tiada sambutan yang lain. Nabi SAW telah bersabda:

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الْمَدِينَةَ وَلأَهْلِ الْمَدِينَةِ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ  قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ وَلَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْراً مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ

“Ketika Nabi SAW datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari raya untuk bersenang-senang dan bermain-main di masa jahiliyah. Maka baginda berkata, “Aku datang kepada kalian dan kalian mempunyai dua hari raya di masa jahiliyah yang kalian isi dengan bermain-main (bersuka ria). Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik bagi kalian, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha” (Hadis Riwayat An-Nasai’e dan Ahmad).

Peganglah prinsip asal ini. Kita hanya bergembira pada dua hari raya yang disyariatkan.

Walaubagaimanpun, bergembira dengan sempena atau sambutan tertentu seperti menyambut hari kelahiran, meraikan kejayaan, sambutan Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Tahun Baharu Masihi dan lain-lain adalah dibenarkan selagi mana tidak menyentuh aqidah dan tidak mengandungi amalan dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama Islam dalam sambutan itu.

Oleh kerana itu, dalam konteks sambutan Tahun Baharu Cina, ia perlu dikaji dengan mendalam apakah falsafah dan sejarahnya serta adakah ia bebas daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan aqidah Islam.

Berdasarkan kajian sedia ada, umumnya sambutan Tahun Baharu Cina dikatakan tidak mempunyai perkaitan dengan permasalahan aqidah kerana ia merupakan sambutan tahun baharu mengikut kalendar lunar Cina. Namun, terdapat sesetengah amalan yang dilakukan oleh kaum Cina sewaktu menyambut perayaan ini seperti ritual penyembahan nenek moyang dan mengunjungi tokong. Justeru, sebagai Muslim, perlu membezakan di antara amalan keagamaan dan kebudayaan serta menjauhi amalan yang jelas bertentangan dengan aqidah.

Hukum meraikan Tahun Baharu Cina telah disentuh oleh kebanyakan Mufti di negara kita. Memetik salah satu kenyataan Mufti iaitu Mufti Wilayah Persekutuan:

“Kami dapati sambutan Tahun Baru Cina yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin masyarakat Cina dan juga disertai oleh pemimpin negara atau negeri yang beragama Islam, masih di ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam dan terdapat garis panduan yang perlu diikuti jika ingin menyambut perayaan ini antaranya:

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.”

Sumber: Hukum Menyambut Tahun Baru Cina (https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina)

Justeru, sebagai Muslim, laksanakanlah setiap perbuatan dengan sedar dan atas asas kefahaman yang benar agar ia tidak sia-sia. Tahun Baharu Cina jika perlu diraikan, maka raikanlah dengan penuh berprinsip dan berpada-pada kerana ia bukan perayaan umat Islam. Perlu diingatkan bahawa apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

Di Malaysia, kehidupan bermasyarakat yang penuh diversiti menuntut untuk saling mengenali dan menghormati akan pegangan masing-masing. Maka, sebarang sambutan atau keraian selain hari kebesaran Islam adalah dibenarkan dengan batasan syarak dan dilaksanakan atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan.

Jika ingin mengucapkan tahniah atau selamat, pastikan ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut. (Sumber: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78, 12 Jun 2007: Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam).

Maka, berpada-padalah dalam menyambut perayaan bukan Islam. Janganlah seorang Muslim itu lebih sudu daripada kuah dan terlampau berlebihan. Sangat menyedihkan jika ada yang sanggup mengunjungi tokong dan rumah ibadah agama lain dengan dakwaan toleransi dan rahmah. Ia tidak perlu sama sekali kerana di situ terletaknya pemujaan terhadap selain Allah dan penuh dengan kesyirikan. Rujuklah ahli agama sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Ambillah kesempatan Tahun Baharu Cina ini untuk berziarah dan berdakwah kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan berbangsa Cina yang masih belum Muslim. Ziarah-menziarahi dengan bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat akan membolehkan kita mengenal pasti dengan lebih tepat apa yang perlu sampaikan kepada mereka dan menjadikan dakwah Islam lebih berkesan.

Semoga dengan asbab meraikan dan menjaga hubungan baik di musim perayaan ini membuka hati mereka untuk menerima taufik dan hidayah Allah.

 Wallahua’lam.

Nota kaki: Secara peribadi, melihat jiran berbangsa Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina biasa-biasa sahaja, takkan kita pula nak beriya-iya kan?

Ustazah Nur Fatin Binti Halil

Naib Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *