700 Kali Ganda, 10 Kali Ganda Dan Penghapus Dosa
Suatu hari salah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Ubaidah Al-Jarrah RA jatuh sakit. Beliau diziarahi oleh sahabat-sahabatnya yang lain. Apabila tiba di biliknya, ketika itu beliau sedang berbaring di sisi isterinya, yang bernama Tuhaifah.
Lalu mereka bertanya : Bagaimana Abu Ubaidah bermalam (malam tadi)?
Isterinya menjawab : Demi Allah, dia telah bermalam dengan ‘ganjaran pahala’.
Lalu Abu Ubaidah RA menjawab, sambil mukanya menghadap ke dinding : Tidak, aku tidak bermalam dengan ‘ganjaran’ pahala.
Kemudian dia memalingkan mukanya ke arah sahabat-sahabatnya : Kamu tak nak tanya ke tentang apa yang aku katakan tadi ?
Lalu mereka menjawab : Kami sangat terkejut dengan apa yang kau katakan, sampai tak berani nak tanya.
Kemudian Abu Ubaidah RA menjawab : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Barangsiapa yang menginfaqkan suatu nafkah yang baik di jalan Allah, maka ia digandakan 700 kali ganda.
Barangsiapa yang memberi nafkah untuk dirinya sendiri, serta keluarganya, atau menziarah orang sakit, atau menghilangkan sebarang bentuk ‘halangan’ (di tengah jalan), maka bagi setiap kebaikan itu diganda sepuluh.
Adapun puasa itu adalah perisai, selagi ia tidak mencariknya.
Dan barangsiapa yang diuji oleh Allah dengan ujian pada badannya, maka baginya adalah suatu ‘penghapusan dosa’. ” – Hadis Riwayat Imam Ahmad, hukum sanadnya Hasan
Saya berkata :
- Kadar gandaan pahala bergantung kepada kadar tingginya martabat sesuatu amalan di hadapan Allah SWT. Apabila tingginya nilai di hadapan Allah, maka makin hampirlah ia kepada ‘paksi ketuhanan’ yang berputar mengelilinginya semua amalan manusia.
Oleh kerana perjuangan dan jihad di jalan Allah adalah perjuangan para anbiya’, maka ia digandakan setinggi itu, kerana hampirnya ia pada paksi tersebut.
- Penyakit yang menimpa manusia boleh menghapuskan dosa kerana ia ibarat suatu jenis daripada bahagian ‘azab neraka’ yang dipercepatkan. Walaupun demikian, manusia yang ditimpa penyakit tetap boleh mendapat pahala atas kesabarannya, keredhaannya dan pasrahnya terhadap takdir Allah SWT, selagimana dia masih bersangka baik dan tidak berputus asa daripada rahmat-Nya.
- Kehidupan kita yang singkat ini mempunyai banyak persinggahan yang berbeza pada tahapan orbit yang tersendiri. Kadangkala digandakan 700 kali, kadangkala 10 kali, dan kadangkala dihapuskan dosa.
Oleh itu jadilah orang yang bijak, yang sentiasa cuba menggandakan amalannya sebanyak 700 kali ganda, agar mendapat ganjaran yang besar, dengan modal yang kecil.
Uruskan kehidupan sekadarnya, jaga kesihatan, dan maksimakan tenaga untuk digunakan pada jalan perjuangan para anbiya’ AS.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma (MUIS)