Biarkanlah unta itu !

Ketika peristiwa hijrah, apabila Nabi SAW tiba di Madinah, para sahabat berebut memegang tali unta Baginda SAW untuk membawanya ke rumah masing-masing.

Lalu Nabi SAW bersabda : “Biarkan unta itu, kerana ia ‘disuruh’ (diberikan tugasan sendiri), lalu ia pun berlabuh di hadapan pintu rumah Abu Ayyub Al-Ansori RA”.

Suatu lafaz, yang mengandungi seribu makna yang tersirat. Makna kepimpinan, keluasan pandangan, pengarahan secara jelas, kepercayaan pada pengikut, dan yang lebih besar adalah memahami bahawa yang menjayakan misi dakwah bukan sahaja manusia, tetapi setiap anggota alam semesta ‘disuruh’ untuk bersama.

Dimensi yang difahami Rasulullah SAW melangkaui dimensi manusia biasa, keterikatan Baginda SAW dengan Tuhan membawa kepada terungkainya hijab antara dimensi kewujudan, justeru memahami perkara di sebalik alam material, dan melihat kewujudan sebagai satu alam yang sama.

Bila pandangannya menerobos hijab, pengarahannya juga tidak terhad pada yang dicerap dengan pancaindera, hingga boleh memberi kepercayaan kepada haiwan tunggangannya untuk melakukan suatu keputusan, yang memberi kesan yang besar terhadap sudut pandang para muslimin pada ketika itu.

Sekali pandang, manusia akan memikirkan bahawa Baginda SAW ibarat menyerahkan keputusan kepada haiwan secara ‘rawak’ dan ibarat ‘mencarum’ dan ‘meneka-neka’ sahaja.

Tetapi dengan pandangan yang mendalam, hakikatnya Baginda SAW sedang fana’ dalam ketundukan, khusyuk dan bersimpuh munajat di hadapan Allah SWT, atas kurniaan dan kelebihan yang diberikan, keselamatan daripada kafir Quraisy, dan tiba di Madinah pada masa yang ditetapkan. Semuanya itu dilalui dan dirasai, di bawah pengawasan dan tadbir Allah SWT, hingga melenyapkan segala keupayaan dan tadbir manusia.

Dengan penuh taslim dan tunduk, dan dzon yang besar terhadap pemeliharaan dan tadbir-Nya, Baginda SAW melafazkan lafaz keramat :

“Biarkanlah unta itu, kerana (hakikatnya) dia juga disuruh (mempunyai arahan yang diterimanya sendiri, daripada Pentadbir sekalian alam)”

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *