Pangkah Parti Tertentu Masuk Neraka ?

Heboh baru-baru ini isu mengundi parti tertentu yang boleh dikaitkan dengan dosa pahala dan syurga neraka.

Saya hanya mahu katakan, perkara-perkara yang diperselisihkan sepatutnya tidak timbul isu dosa dan pahala kerana pilihan-pilihan itu adalah harus sahaja pada hukum asal jika pemimpin yang dipilih itu mempunyai kelayakan.

Namun di sana ada beberapa penjelasan secara hukum syarak agar kita tidak bermudah-mudah dalam menghukum.

Mengundi orang yang salah dikira berdosa jika dilakukan dengan sengaja, jika tidak sengaja maka dia perlu bertanggungjawab terhadap kesan sampingannya.

Tugas para asatizah adalah menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan memilih pemimpin yang benar-benar merdeka, mempunyai agenda yang jelas, tiada kepentingan peribadi, faham politik, jujur dan menjaga kepentingan umat Islam serta mengekalkan dan menjaga ciri kenegaraan Islam di Malaysia yang sedia ada.

Pertimbangan begitu akan menjadikan umat Islam sedar terhadap ciri-ciri utama pemimpin yang perlu dipilih.

Jika kita membuat pilihan yang salah, dengan sengaja, maka pada ketika itulah kita mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.

Jika tidak sengaja, maka dia wajib bertanggungjawab terhadap kesan-kesan sampingan yang berlaku, dan mengambil inisiatif utama untuk ‘undo’ terhadap pilihan yang dilakukan, sebagai kaffarah kesalahannya yang lalu.

Dalam kaedah syarak, ketersilapan boleh mengangkat dosa, tetapi tidak mengangkat ‘dhoman’ yakni jika seseorang itu buat silap tanpa sengaja, maka dia dikira tidak berdosa, tetapi ia tidak pula menghilangkan jaminan terhadap kesalahannya.

Ibarat orang yang tersalah bunuh, dia tetap wajib membayar diyat, walaupun dia dikira tidak berdosa.

Moga kita tidak tersalah pilih, dan membuat pilihan dengan pertimbangan yang betul.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa

Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *