Tentang Isu Keturunan Nabi

  1. Berlaku perbincangan yang hangat baru-baru ini berhubung isu penghormatan yang perlu diberikan kepada keturunan Rasulullah yang turut dikenali sebagai Ahl Bait al-Nabi.
  2. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa keturunan Rasulullah itu masih wujud. Ini kerana, kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman nanti adalah dari susur galur keturunan Baginda Nabi sendiri. Sabda Rasulullah:

المَهديُّ منِّي أجْلَى الجبهةِ أقْنى الأنفِ يملأُ الأرضَ قِسطًا وعدلًا كما مُلئتْ ظلمًا وجورًا يملِك سبعَ سنينَ

“al-Mahdi adalah dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.” (HR Abu Daud)

  1. Pun begitu, sebelum kita mengiktiraf keabsahan status hubungan genealogi seseorang dengan nasab Rasulullah, proses pengesahan hendaklah dilakukan. Ini kerana kesahan status Ahli Bait itu akan melibatkan beberapa hukum syariat yang lain yang terkait dengannya seperti ahli keluarga Nabi tidak boleh menerima wang zakat atau sedekah wajib. Ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah yang menceritakan bahawa:

أَخَذَ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَمْرَةً مِنْ تَمْرِ الصَّدَقَةِ فَجَعَلَهَا فِي فِيهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِخْ كِخْ لِيَطْرَحَهَا ثُمَّ قَالَ أَمَا شَعَرْتَ أَنَّا لَا نَأْكُلُ الصَّدَقَةَ ‏(‏متفق عليه‏)‌‏.‏ ‏

“Saidina Hasan bin Ali (cucu kepada Rasulullah) telah mengambil sebiji tamar daripada tamar sedekah lalu memasukkan ke dalam mulutnya. Lantas Nabi SAW berkata: kih!! kih!! (ungkapan agar Saidina Hasan membuangkan tamar itu dari mulut) buangkannya, apakah kamu tidak mengetahui bahawa keturunan kami tidak makan harta sedekah (zakat).” (HR Muslim)

  1. Andai sekiranya mereka telah disahkan mempunyai jalur genealogi yang bersambung kepada Ahli Bait Nabi samada melalui jalur keluarga Ali, keluarga Abbas, keluarga Ja’far atau keluarga Uqail, maka adalah menjadi tanggungjawab seorang muslim untuk memberikan penghormatan kepada mereka.
  2. Ini berdasarkan hadis yang diceritakan oleh Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah berpesan kepada para sahabat agar menghormati dan menjaga keturunan Baginda Nabi. Kata Zaid:

فَحَثَّ علَى كِتَابِ اللهِ وَرَغَّبَ فِيهِ، ثُمَّ قالَ: وَأَهْلُ بَيْتي، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ في أَهْلِ بَيْتِي

“Kemudian Baginda Nabi berpesan agar para sahabat berpegang kepada Kitab Allah (iaitu al-Quran) dan bersabda: Dan begitu juga mengenai ahli keluargaku. Aku mengingatkan kamu semua tentang ahli keluargaku.” (HR Muslim)

  1. Perintah ini seolah-olah menunjukkan bahawa Baginda Nabi menasihatkan para sahabat agar menyantuni ahli keluarga Baginda. Atas dasar itu Saidina Abu Bakar pernah menyatakan:

وَالَّذِي نَفْسِي بيَدِهِ، لَقَرَابَةُ رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَحَبُّ إلَيَّ أَنْ أَصِلَ مِن قَرَابَتِي

“Demi jiwaku dalam kekuasaannya, sungguh menyambung silaturrahim dengan kerabatnya Rasulullah itu lebih aku sukai dari pada menyambung silaturrahim dengan kerabatku sendiri”. (HR Muslim)

  1. Begitu juga Saidina Umar lebih gembira atas keislaman al-Abbas (pakcik Rasulullah) lebih daripada keislaman ayahnya sendiri (sekiranya ayahnya memeluk Islam). Kata Umar:

يا عباسُ لَإسلامُك يومَ أسلمتَ كان أحبَّ إليَّ من إسلامِ الخطابِ

“Wahai Abbas, keislamanmu pada hari kamu memeluk Islam adalah lebih aku sukai berbanding keislaman al-Khattab (ayah Umar, sekiranya dia beriman).

  1. Walaubagaimana pun, kita juga tidak digalakkan terlalu berlebihan dalam menzahirkan kecintaan tersebut sehingga melanggar tatatertib yang digariskan oleh syarak, iaitu sehingga mengagungkan seseorang lebih dari sepatutnya. Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:

ليحبني قوم حتى يدخلون النار فيّ ، وليبغضني قوم حتى يدخلون النار في بغضي

“Sesuatu kaum akan mencintai aku sehingga menyebabkan mereka ke neraka (kerana kecintaan tersebut), dan satu kaum yang lain pula membenci aku sehingga menyebabkan mereka masuk ke neraka kerana kebencian tersebut.” (Ibn Abi Asim, Kitab al-Sunnah)

  1. Secara kesimpulannya mencintai ahli keluarga Rasulullah adalah konsep yang bersandarkan daripada hadis Nabi sendiri. Namun, mengawal diri agar tidak bersikap keterlaluan dalam mencintai seseorang juga adalah berteraskan sunnah Rasulullah juga. Perhatikan bagaimana Rasulullah menyebutkan mengenai kepatuhan kepada al-Quran dahulu sebelum memerintahkan kepada para sahabat agar memelihara ahli keluarganya. Bimbingan al-Quran itu lebih utama diikut dan al-Quran menegaskan bahawa sebaik-baik manusia itu dibezakan dengan ketakwaan mereka.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Setiausaha Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *