Mengqadakan Solat Yang Telah Ditinggalkan Selama Bertahun-Tahun

Soalan

Assalammualaikum.. Apakah hukum qada solat untuk orang yang sudah meninggalkan solat fardhu selama bertahun lamanya, bolehkah orang tersebut memenuhi harinya dengan mengqada solat sehingga sebanyak 30 kali dalam sehari?

Jawapan

Perlu diketahui hukum mengqadakan solat adalah wajib. Terdapat terlalu banyak ayat al-Quran dan Hadith yang telah menyebut mengenai kewajiban solat, akibat serta kesan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja serta wajib qada solat fardhu bagi sesiapa sahaja yang meninggalkannya. Saya kongsikan beberapa hadith Rasulullah SAW yang menyebut berkaitan qada solat fardhu;

“Barangsiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur sehingga terluput waktu solat, maka kafarahnya hendaklah dia menunaikan solat setelah menyedarinya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Dalam hadith yang lain:

“Barangsiapa terlupa menunaikan solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila menyedarinya, tiada kaffarah yang lain selain menggantikannya. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalil seterusnya ialah kisah Rasulullah SAW dan para sahabat tertidur sehingga luput waktu subuh, kemudian para sahabat bertanya: ” Apakah kaffarah atas perbuatan kami mensia-siakan solat?

Maka jawab Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya tidur (sehingga luput waktu solat dengan tidak sengaja) bukan termasuk mensia-siakan solat. Yang disebut mensia-siakan solat adalah mereka yang menangguhkan solat, hingga masuk waktu solat berikutnya. Siapa yang tertidur hingga luput waktu solat maka hendaknya dia laksanakan ketika bangun (dari tidurnya)” (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith-hadith yang telah dikemukakan di atas adalah merupakan dalil yang digunakan oleh para ulama’ dalam meletakkan hukum qada solat.

Begitulah keadaan bagi orang yang terlupa dalam mengerjakan solat. Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, sudah tentu diwajibkan qada solat keatasnya.

Menurut para ulama silam seperti Imam An-Nawawi dan Ibnu Qudamah, bagi mereka yang tertidur atau terlupa dari melakukan solat fardu, maka ia tidak dikira berdosa tetapi wajib juga keatas mereka untuk mengqadakan solat. Maka keutamaan itu lebih ditekankan lagi keatas orang yang sengaja meninggalkan solat.

Bagaimana untuk mengetahui jumlah solat yang perlu diqadakan?

Dalam perkara ini maka hendaklah kita memahami bahawa menyelesaikan hak-hak Allah Taala itu adalah lebih dituntut mengatasi hak-hak yang selain-Nya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;“Kalaulah atas saudara perempuan kamu hutang adakah kamu membayarnya? Jawabnya: “Ia”. Sabda Baginda SAW: “Maka tunailah hutang Allah kerana ia lebih berhak dibayar.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Boleh jadi jumlah solat yang perlu diqada mencapai ribuan waktu. Namun pohonlah kepada Allah Taala agar terus diberi hidayah dan kekuatan untuk menyelesaikannya.

Contoh kiraan waktu solat fardu yang perlu diqada selama 3 tahun adalah seperti berikut :-

365 (hari) x 5 (waktu solat) = 1,825 waktu solat yang perlu diqada selama setahun.

1,825 x 3 (tahun) = 5,475 waktu solat yang perlu diqada.

Tiada masalah untuk mengqadakan sebanyak 30 solat dalam masa sehari. Namun sekiranya ada kewajipan yang lain seperti mencari nafkah untuk keluarga, menunaikan hak sebagai pekerja, menjaga ibubapa yang telah uzur, memenuhi janji seseorang dan sebagainya, maka solat qada hendaklah dilakukan mengikut kekosongan masa yang ada. Ini kerana setiap ibadah itu mestilah dilakukan atas kemampuan masing-masing berdasarkan firman Allah Taala dalam surah At-Taghabun ayat 16 yang bermaksud;

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu..”

Beberapa cadangan pemudah cara dalam mengqadakan solat.

Pertama, membuat kiraan jumlah keseluruhan solat fardhu yang perlu diqada.

Kedua, adakan sebuah jadual khusus untuk tandakan solat qada yang sudah selesai dan yang belum selesai.

Ketiga, cari waktu yang sesuai untuk lakukan solat qada agar kewajipan-kewajipan selain daripadanya juga tidak terabai. Antara waktu yang sesuai ialah seperti berikut :-

  • Setiap kali selepas solat-solat fardhu
  • Ketika hari cuti
  • Selingan waktu dibulan Ramadhan
  • Sewaktu menunaikan ibadah haji dan umrah

Wallahua’lam Bissawab

Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *