Hukum Qada Puasa Dan Fidyah Untuk Orang Yang Sakit Sehingga Meninggal Dunia

Soalan

Assalammualaikum. Saya baru kehilangan anak perempuan yang sudah baligh. Tapi saya terlupa berapa hari anak saya tinggal puasa. Sejak tahun 2021 belum ganti lagi sebab covid, beliau perlu memakan ubat. Dan tahun 2022 belum sempat ganti. Boleh ustaz tolong saya

Jawapan

Waalaikumussalam Puan. Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam keatas junjungan Rasulullah SAW.

Secara umumnya, orang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana ada keuzuran tertentu, kemudian apabila keuzuran itu sudah tiada maka hendaklah diqadakan puasanya selepas itu berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan. Ini kerana asas kepada ibadah ini ialah mengikut kemampuan seseorang mukallaf berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud;

“Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya..” (Surah Al-Baqarah ; 286)

Begitu juga firman Allah Taala yang bermaksud;

“(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran..”  (Surah Al-Baqarah; 185)

Namun orang yang berpanjangan uzurnya seperti sakit yang berterusan sehingga meninggal dunia, maka tiada keperluan untuk mengqadakan puasa yang telah lalu serta tidak perlu membayar fidyah keatasnya. Ini kerana hukum wajib keatas dirinya itu telah pun gugur disebabkan sakit sehingga menghilangkan kemampuan dalam melakukan puasa tersebut.

Dalam Kitab Al-Mu’tamad Fil Fiqh Al-Syafie ada menyebut;

Adapun sekiranya seseorang itu melewatkan qada puasa Ramadan kerana suatu keuzuran; seperti sakitnya berpanjangan, menyusu, mengandung atau sentiasa musafir sehingga masuk ke bulan Ramadan yang lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan dan wajib qada puasa sahaja.”

Begitu juga seperti dalam kitab Al-Taqrirat Al-Sadidah pada bahagian Ibadah ada menyebut;

‘’Jika seseorang itu melewatkan qada kerana suatu keuzuran seperti musafir, sakit ,menyusu, lupa dan jahil maka dia tak wajib bayar fidyah.”

Imam An-Nawawi juga ada menyebut dalam kitab Al-Minhaj iaitu bagi mereka yang berpanjangan uzur sehingga membawa kematian, maka tidak ada puasa keatasnya dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya.

Berdasarkan keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa pihak waris tidak perlu membayar fidyah dan tidak pula menggantikan puasa untuk si mati kerana situasi ini boleh diiktibarkan sebagai sakit yang berpanjangan sehingga ke akhir hayatnya.

Semoga Allah Taala cucuri rahmat-Nya keatas si mati dan ditempatkan bersama para solihin di akhirat sana.  

Wallahu a’lam bissawab.

Ustazah Hayati Zari

Pengelidik Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *