Satu ayat Al-Quran dihina boleh dihukum, apatah lagi separuh Al-Quran!

1. Heboh menjelang Aidiladha baru-baru ini, seorang pelawak wanita dengan sengaja telah mencetuskan kontroversi dan mencemarkan kemuliaan hari kebesaran Islam dengan mengaku telah menghafal 15 Juzuk Al-Quran dan berhijab, lalu menanggalkan hijab di tubuh tanpa segan silu di hadapan penonton di sebuah kelab.

2. Amat malang sekali kerana seorang wanita Muslimah yang telah mendapatkan kemuliaan dalam Islam, mencabut kemuliaan tersebut dengan tangannya sendiri. Bahkan berpatah balik dan mengundur ke zaman jahiliyyah dengan menyerahkan diri menjadi pemuas nafsu lelaki! Kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita, namun ada wanita Muslimah hari ini yang rela dan memilih menjadi hina dengan bergelumang dengan amalan jahiliyyah yang kuno.

3. Hafazan Al-Quran semata-mata juga hakikatnya tidak dapat menjamin kefahaman terhadap agama, namun Iman itulah yang menghidupkan akal dan jiwa. Allah berfirman: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)…” (Surah al-Isra’: ayat 9). Sungguh kasihan kerana al-Quran yang dihafal wanita ini tidak memberikan kesan cahaya dan petunjuk dalam dirinya.

4. Mudah-mudahan wanita ini mendapat hukuman dengan segera agar insiden sebegini tidak berulang dan menjadi pengajaran buat semua. Tahniah kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang telah mengambil tindakan awal.

5. Hukuman yang bakal diterima telah diperuntukan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina, atau menyebabkan dipandang hina yang apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. (Rujukan: http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Original.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/a3978f702b7bfe754825707c00081dd3?OpenDocument)

6. Namun bagi saya, wanita malang ini bukan hanya melakukan kesalahan menghina agama Islam, malahan mencemarkan kemuliaan Al-Quran yang telah dihafal (jika benarlah beliau seorang penghafal Al-Quran).

7. Peruntukan dalam ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986 di bawah BAHAGIAN VII – KESALAHAN-KESALAHAN, Seksyen 206. Menghina Ayat-ayat Quran, dsb. menyatakan: “Barang siapa, sama ada dengan secara lisan atau tulisan atau perbuatan atau dengan cara apa jua pun, membuat hina, atau menyebabkan supaya dibuat hina, terhadap mana-mana Ayat Quran atau Hadis atau sebarang perkataan atau ayat yang dipandang suci oleh orang-orang Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali”. (Rujukan: http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/f73af6129555db14482572280012c17a?OpenDocument)

8. Tindakan menanggalkan pakaian di khalayak ramai adalah satu bentuk ‘perbuatan’ yang membuat hina bukan hanya ‘mana-mana Ayat Quran’ tetapi separuh Al-Quran yang telah dihafal. Jika satu ayat al-Quran dilarang untuk dihina, apatah lagi separuh al-Quran! Apa yang telah berlaku sama sekali tidak boleh diterima. Ia juga langsung tidak menggambarkan imej seorang pemelihara Al-Quran yang sebenar.

9. Hukuman yang diperuntukkan sebenarnya masih dilihat agak ringan dan tidak setimpal, namun diharapkan jika dilaksanakan, ia dapat memberikan satu gambaran ketegasan oleh pihak berkuasa di negara ini dalam usaha memelihara kesucian agama Islam.

10. Boleh jadi insiden sebegini sememangnya sengaja dirancang dan dicetuskan oleh pihak musuh Islam untuk mempermainkan agama Islam di saat umat Islam menyambut ketibaan hari yang mulia. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah AtTaubah: ayat 65).

Wallahua’lam.

Ustazah Nur Fatin bte Halil
Naib Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *