Pegang perkara pokok dan jelas dalam agama, biarkan autoriti jalankan tugas

Perbahasan tarekat yang timbul baru-baru ini menjemput respons pelbagai pihak, samada yang setuju atau tidak. Saya tidak berhasrat mahu memanjangkan perbahasan kerana semua poin utama perbahasan isu itu secara spesifik sudah dilontarkan.

Saya ingin mengajak umat Islam untuk memikirkan poin-poin ini :

1. Kumpulan-kumpulan Tarekat adalah ibarat sebuah sekolah atau perkumpulan yang memandu manusia ke jalan Allah SWT dengan manhaj dan caranya tersendiri. Setiap tarekat ada gurunya, mursyidnya, wiridnya dan amalan khusus. Menyertainya tidaklah sampai kepada hukum wajib, kerana yang jelas wajib adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan menyertai mana-mana kumpulan secara khusus.

2. Seperti mana-mana kumpulan Islam lain, semuanya itu tertakluk dan terikat dengan pegangan akidah Islam dan undang-undang syariat.

3. Keterlampauan dalam perihal ini seperti mempunyai akidah yang tersendiri, undang-undang yang tersendiri, atau ‘umat Islam’ yang tersendiri, akan membawa kepada pembentukan firqah-firqah yang terkeluar daripada ahli sunnah wal jamaah atau lebih bahaya terkeluar daripada agama itu sendiri.

4. Akidah yang ‘khusus’ boleh bawa kepada kesyirikan dan kesesatan, undang-undang yang ‘khusus’ akan bawa kepada kekufuran, dan ‘umat Islam’ yang ‘khusus’ boleh bawa kepada fahaman khawarij yang menolak untuk bersama jemaah muslimin.Mana-mana keraguan dan kemusykilan yang timbul atau tohmahan yang ditimpa kepada seseorang atau sesebuah kumpulan, sekiranya ia jelas bertentangan dengan ajaran agama, dengan bukti dan penerangan, maka ia wajar dan sepatutnya dibanteras dan dibasmi dengan cara yang tidak membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

5. Apabila timbul perselisihan pandangan daripada kalangan ulamak, mengenai status sesuatu kumpulan atau perseorangan, maka biarkanlah pihak yang berkelayakan dan berautoriti yang mengeluarkan pandangan.

6. Adapun orang lain yang tidak mempunyai keahlian, tinggalkanlah perbincangan itu dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan utama dalam topik perbincangan harian mereka. Ini bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan meletakkan sesuatu topik di luar medan perbincangannya.

7. Warisan kehidupan beragama, secara turun temurun daripada ulamak Melayu dan nusantara sudah membentuk suatu adat yang baik dalam beragama, tanpa menafikan di sana ada penambahbaikan yang boleh dilakukan. Justeru merungkai uruf dan adat umat Islam sedia ada boleh menimbulkan fitnah dan kekacauan.

8. Umat Islam perlu disibukkan dengan perbincangan pokok yang dikongsi bersama sebagai satu umat, bukan perbincangan-perbincangan yang halus dan memerlukan kepakaran dan kajian khusus dalam memahaminya. Membawa umat daripada perbincangan pokok kepada perbincangan ranting hanya akan merugikan tenaga dan pemikiran umat Islam yang sepatutnya dilaburkan pada tempat yang lebih besar kesannya. Ini kerana kesibukan terhadap perkara ranting, akan mengabaikan perkara pokok.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (ISMA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *