Amalan Isteri Rasulullah SAW di Bulan Ramadan

Amalan Isteri-isteri nabi Muhammad SAW di bulan Ramadhan tidak kurang sama halnya seperti Nabi SAW juga. Mereka mempelajari dari Rasulullah SAW bahawa Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan ketaatan dan bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Maka mereka memperbanyakkan amalan ketaatan dan mengurangkan kesibukan diri dengan urusan-urusan rumahtangga seperti memasak dan lain-lain.

Jika kita melihat keadaan masyarakat kita pada hari ni, apabila tibanya bulan Ramadhan ramai yang menganggap Ramadhan adalah pesta makanan. Pada waktu inilah timbulnya perasaan ingin mencuba berbagai jenis hidangan makanan dan minuman, kerana semasa bulan Ramadhanlah berbagai makanan yang enak-enak dijual di bazar Ramadhan mahupun di kedai-kedai. Hotel-hotel juga banyak menawarkan pakej buffet iftar Ramadhan bersempena bulan yang mulia ini.

Maklumlah, apabila kita berpuasa, nafsu makan kita jadi lain macam. Masa itu lah timbulnya keinginan hendak makan dan minum yang macam-macam, seolah-olah pada bulan lain tidak ada juadah tersebut. Menjadi kebiasaan ibu-ibu rumahtangga juga di bulan Ramadhan untuk sibuk memikirkan apa juadah hidangan untuk ahli keluarga beriftar. Masa mereka disibukkan dan dipenuhi dengan aktiviti penyediaan juadah yang pelbagai dan enak-enak untuk ahli keluarganya yang berpuasa. Hal ini tiada salahnya, bahkan baik untuk menimbulkan keseronokan di dalam hati anak-anak yang merasa diraikan setelah mereka menahan diri dari makan dan minum seharian kerana berpuasa. Akan tetapi bukankah lebih baik kita mengejar pahala melakukan amalan ibadah yang lain  yang mendekatkan diri kepada Allah yang telah dijanjikan gandaaan pahalanya pada bulan Ramadhan, tidak sama seperti bulan-bulan lain.

Keadaan ini seolah-olah tersasar jauh dengan keadaan isteri-isteri Rasulullah di Bulan Ramadhan. Bulan yang sepatutnya dipenuhi dengan amal ibadah dan kebaikan, kerana bulan Ramadhan merupakan bulan yang diganjarkan dengan ganjaran pahala yang berbaganda melebihi pada bulan-bulan lain.

Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam khutbahnya di akhir bulan Sya’ban bersempena tibanya bulan Ramadhan:

“Wahai sekalian manusia, telah tibanya bulan yang agung lagi mulia, bulan yang penuh dengan keberkatan, di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai suatu kefardhuan, dan bangun di malam hari sebagai amalan sunat. Barangsiapa yang mendekatinya dengan melakukan satu amal kebaikan, dia akan mendapat ganjaran seperti dia melakukan amalan fardhu. Dan barangsiapa yang melakukan amalan fardhu, seolah-olah dia mengerjakan 70 kali ganda amalan fardhu dan seumpanya. Ia adalah bulan kesabaran, dan sabar balasannya adalah Syurga. Ia juga adalah adalah bulan keluasan, yang mana bulan diluaskan rezeki orang-orang mukmin. Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, akan diampun dosa-dosanya dan dilepaskan tengkuknya dari api neraka, dan dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang walau sedikitpun”.

 Oleh itu, marilah kita melihat bagaimana amalan isteri-isteri baginda SAW di bulan Ramadhan untuk diikuti dan dicontohi:

  1. Solat Terawih dan qiyamullail.

Isteri-isteri Nabi SAW di bulan Ramadhan banyak melakukan amal dakwah kepada para wanita. Mereka memberikan peringatan kepada para wanita dan mengajak mereka melakukan amal kebaikan. Mereka berpesan kepada para wanita untuk memperbanyakkan solat sunat, melaksanakan solat fardhu di awal waktu, sehingga mereka menjadi qudwah dan contoh ikutan kepada wanita yang lain.

Di bulan Ramadhan juga, isteri-isteri nabi mengimamkan solat malam bersama para wanita yang lain.

Di sebutkan oleh Abi Yusuf di dalam atharnya bahawa Saidatina Aisyah RA pernah menjadi imam solat sunat untuk para wanita lain dan beliau berdiri di tengah-tengah saf. Adakalanya mereka melantik wanita yang lain untuk mengimami solat mereka.

Nabi SAW juga mengumpulkan isteri-isteri dan anak-anak perempuannya dan bersolat malam dengan mereka pada bulan Ramadhan.

2. Membaca Al-quran dan berzikir

Bulan Ramadhan merupakan bulan Al-quran. Al-quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan sebagai petunjuk dan panduan bagi sekalian manusia. Isteri-isteri nabi SAW menyibukkan diri mereka dengan memperbanyakkan bacaan tilawah Al-quran di bulan Ramadhan. Mereka berusaha mengkhatamkan Al-quran lebih daripada satu kali. Mereka memperbanykakkan bacaan Al-quran pada bulan Ramadhan melebihi bacaan mereka pada bulan-bulan lain. Begitu juga dengan zikir, mereka memperbanyakkan bacaan zikir pada bulan Ramadhan.

3. Memperbanyakkan bersedekah.

Antara amalan yang masyhur di kalangan isteri-isteri nabi SAW di bulan Ramadhan adalah memperbanyakkan bersedekah. Isteri nabi yang paling masyhur dan terkenal dengan sifat paling banyak bersedekah ialah Zainab binti Jahsy RA. Sehingga beliau digelar sebagai wanita yang paling panjang tangannya. Zainab merupakan seorang yang kreatif dan pandai membuat kraftangan daripada kulit binatang. Hasil jualan kraftangannya akan disedekahkan kepada fakir miskin khususnya pada bulan Ramadhan. Begitu juga Aisyah terkenal sebagai ummahatul mukminin yang banyak juga bersedekah.

4. Memperbanyakkan doa.

Isteri-isteri Nabi SAW sentiasa berusaha memperbanyakkan berdoa kepada Allah swt khusunya pada bulan Ramadhan. Mereka berusaha untuk mendapatkan malam lailatul qadar dan mendapatkan kelebihannya. Saidatina Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan apakah doa yang patut diungkapkan jika dia bertemu dengan malam lailatul qadar?

Rasulullah SAW menjawab: “Banyakkanlah berdoa:

 “اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا “.

Maksudnya:

“Wahai tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah dosa-dosa kami”.

5. Menyebarkan Ilmu.

Isteri-isteri nabi SAW banyak menyebarkan ilmu khususnya pada bulan Ramadhan. Ilmu yang disampaikan adalah berkaitan hukum-hakam berpuasa. Mereka meriwayatkan hadis-hadis berkaitan hukum-hakam berpuasa.

6. Menziarahi Nabi SAW di tempat pengik’tikafannya.

Isteri-isteri nabi sering menziarahi Nabi SAW di tempat i’tikafnya pada waktu malam. Mereka tenang duduk di samping Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Ali bin Husain RA bahawasanya Saidatina Sofiyyah RA, isteri Nabi SAW berkata: Ketika nabi sedang beri’tikaf, aku mendatanginya untuk menziarahinya. Kami telah berbual-bual, kemudian aku bangun untuk membelakangi Rasulullah. Rasulullah bangun bersamaku untuk memusingkan aku kembali. Ketika itu tempatnya adalah di rumah Usamah bin Zaid RA.

Kebetulan ada dua orang lelaki Ansar melalui kawasan tersebut. Apabila mereka melihat Nabi SAW, mereka mempercepatkan langkahan kaki mereka. Nabi SAW berkata kepada mereka: ini adalah Sofiyyah binti Huyai RA. Mereka berkata : Subhanallah. Rasulullah berkata lagi: sesungguhnya syaitan melalui di dalam urat darah anak adam, dan aku khuatir akan terlempar di dalam hati mereka perbuatan yang mungkar (sangkaan buruk terhadap Rasulullah).

Begitulah amalan isteri-isteri baginda SAW bagi merebut kelebihan ganjaran di bulan Ramadhan. Adapun pada hari-hari yang mereka tidak berpuasa kerana haidh, mereka memperbanyakkan amalan-amalan ibadah lain yang dibenarkan seperti berzikir, berdoa, bersedekah dan melakukan banyak amalan kebaikan yang lain.

Semoga kita dapat mencontohi isteri-isteri nabi dalam amalan ibadah bagi merebut ganjaran yang berganda di bulan Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi.

Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Timb Ketua Wanita
Sekretariat MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *