Arak Mencabul Fitrah Kemanusiaan: Pengajaran Daripada Israk Mikraj

Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan Nabi SAW yang penuh dengan mukjizat dan mengandungi banyak hikmah serta pengajaran.

Salah satu peristiwa yang dilalui Nabi SAW pada malam tersebut adalah peristiwa baginda dihidangkan dengan dua jenis minuman iaitu arak dan susu.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ بِإِيلِيَاءَ بِقَدَحَيْنِ مِنْ خَمْرٍ وَلَبَنٍ فَنَظَرَ إِلَيْهِمَا فَأَخَذَ اللَّبَنَ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَاكَ لِلْفِطْرَةِ لَوْ أَخَذْتَ الْخَمْرَ غَوَتْ أُمَّتُكَ

Pada malam terjadinya Israk dan Mikraj di Iliya’ (Baitul Maqdis), baginda dihidangkan dua bekas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Setelah baginda meneliti kedua bekas itu, maka baginda mengambil bekas berisi susu. Berkata Jibril AS: “Segala puji bagi Allah yang membimbing kamu memilih yang fitrah. Seandainya kamu memilih arak, nescaya sesatlah umatmu”. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara pengajaran dan mesej penting yang boleh diambil daripada hadis ini adalah:

1. Imam Al-Nawawi dalam Syarah Muslim telah berkata, fitrah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah Islam dan istiqamah. Pemilihan susu memberi satu perlambangan bahawa Nabi SAW memilih jalan kebenaran dan kesucian. Manakala penyingkiran arak bermakna Nabi SAW tidak menyukai kekotoran dan kekejian.

2. Fathul Bari dalam Syarah Bukhari pula menyatakan bahawa pada ketika itu, pengharaman arak masih lagi belum disyariatkan. Hakikatnya adalah tidak salah jika Nabi SAW ingin memilih arak. Tambahan lagi arak merupakan minuman yang menjadi tradisi dan kebiasaan orang Arab. Namun, baginda tetap memilih susu dan diriwayatkan baginda tidak pernah sesekali menyentuh arak sepanjang hidupnya. Keadaan ini memberi simbolik fitrah dan kecenderungan Nabi SAW terhadap kebaikan.

3. Dalam Islam, arak adalah haram kerana ia memabukkan. Sekalipun pada arak terdapat manfaat (seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 219), namun yang nyata keburukannya adalah mengatasi manfaat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Arak mampu membuatkan manusia hilang pertimbangan dan kewarasan seterusnya melakukan tindakan-tindakan di luar kawalannya. Arak mengheret peminumnya melakukan dosa zina, merogol, merompak, membunuh dan pelbagai kerosakan dalam keadaannya hilang kesedaran. Jika Nabi memilih arak maka ia menandakan agama Islam cenderung kepada kejahatan, kerosakan dan kemaksiatan.

4. Islam bukan hanya mengharamkan perlakuan meminum arak. Malah tindakan yang bersekutu dan menunjukkan persekongkolan dengan arak juga diharamkan. Nabi SAW melaknat sepuluh golongan yang berurusan dengan arak. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya”. (Hadis Riwayat Tirmizi)

5. Dalam hadis ini juga, malaikat Jibril AS telah mengucapkan kalimah ‘Alhamdulillah’ yang memberi isyarat kesyukuran atas tindakan Nabi SAW yang benar dan memilih susu. Nabi merupakan qudwah atau contoh kepada umat manusia dan menjadi ikutan sejagat. Nabi sebagai pemimpin juga perlu bijaksana dalam membuat pemilihan atau keputusan. Justeru, ia memberi gambaran bahawa teladan yang buruk dan keputusan yang tidak tepat oleh seorang pemimpin akan memberi kesan yang besar kepada para pengikut.

6. Arak dan susu memberi gambaran mengenai dua nikmat yang berbeza. Peminum arak hanya akan merasai nikmat yang sementara manakala mereka yang minum susu akan merasai nikmat yang bersifat kekal. Ini kerana arak apabila diminum dikatakan dapat memberi ketenangan kerana telah menghilangkan fungsi akal peminumnya buat seketika, namun pengambilannya menimbulkan lebih banyak masalah dan penyakit dalam jangka pendek dan panjang. Sebagai contoh, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pengambilan alkohol yang merupakan kandungan utama dalam arak meningkatkan risiko terhadap 6 jenis kanser iaitu kanser usus besar, kanser payudara, kanser esofagus, kanser larinks, kanser hati serta kanser mulut dan tekak.

7. Berbeza dengan arak, susu mempunyai khasiat dan meninggalkan manfaat yang sangat besar kepada tubuh badan manusia. Susu mengandungi hampir kesemua nutrien seperti kalsium, karbohidrat, protein, lemak, kalium dan vitamin yang diperlukan oleh badan. Malah, susu juga adalah sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada anak pada peringkat awal pertumbuhan mereka dan perlu diamalkan sepanjang usia (http://www.myhealth.gov.my/susu-dan-sihat-minum-susu-untuk-lebih-sihat/). Hanya minum susu tanpa makan apa-apa makanan pun boleh mengenyangkan, malah ia memberi tenaga dan menguatkan tulang.

8. Perbezaan yang ketara antara arak dan susu juga adalah arak mengundang ketagihan, manakala belum pernah lagi kita mendengar seseorang itu mengalami ketagihan susu. Ketagihan arak menjadikan seseorang itu terlalu bergantung kepadanya sepanjang masa. Menurut kajian, alkoholisme atau mereka yang ketagihan alkohol lebih cenderung untuk terlibat dalam gejala seks yang tidak selamat (berisiko tinggi mendapat HIV/AIDS), menunjukkan perilaku yang ganas dan menderita akibat kecederaan contohnya akibat kemalangan jalanraya. Pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang bebas daripada pengaruh alkohol (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia). Masalah psikososial juga mungkin timbul antaranya perubahan personaliti, kemurungan, bunuh diri dan berkelakuan agresif. (http://www.myhealth.gov.my/remaja-alkohol/)

9. Benarlah bahawa arak adalah simbol kejahatan dan ibu kepada maksiat serta jenayah. Kemabukan dan ketagihan membawa kepada pelbagai kemusnahan. Ini jelas dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Arak adalah ibu segala maksiat dan ia adalah maksiat yang paling mengaibkan”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah). Terlalu banyak kajian saintifik dan statistik yang membuktikan impak yang buruk berpunca daripada arak dari pelbagai aspek antaranya aspek keselamatan, kesihatan dan sosial.

10. Menurut World Health Organization (1998), salah satu faktor kepada keganasan rumahtangga adalah pengaruh alkohol. Di Malaysia, data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 5.3% kes keganasan rumah tangga dan 4,5% kes penderaan anak-anak berpunca daripada alkohol (Mastura, 2016). Negara juga terpaksa menanggung kos rawatan berjumlah puluhan juta ringgit akibat penyakit yang berpunca daripada pengambilan alkohol dan kecederaan yang berlaku disebabkan kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk.

11.  Justeru, sesiapa yang tidak mengikut jalan Nabi SAW lalu memilih untuk meminum arak atau menyokong segala urusniaga yang melibatkan minuman keras sebenarnya telah melawan fitrah kemanusiaan yang menyukai kebaikan, kesucian dan keharmonian. Golongan ini juga adalah golongan yang tidak mensyukuri nikmat kesihatan tubuh badan serta mengagungkan kekotoran dan kekejian. Hikmah pengharaman arak sangat berkait rapat dengan aspek penjagaan akal (hifz al-aql) yang terkandung dalam maqasid al-syariah (objektif pensyariatan Islam) yang pastinya selari dan meraikan fitrah kemanusiaan.

12. Kesedaran mengenai keburukan arak dan pengharamannya perlu terus disebarkan dan dipertingkatkan dalam masyarakat. Pihak berkuasa juga perlu menjalankan tanggungjawab untuk menyekat penjualan alkohol dan minuman keras secara berleluasa yang telah terbukti merosakkan dan membawa kehancuran, demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan mental dan fizikal keseluruhan ahli masyarakat.

Mari bersama menghayati keindahan dan kesucian Islam yang menolak arak sebagai ejen perosak. Selamat menyambut Israk dan Mikraj 1443H.

“Malaysia Sejahtera Tanpa Arak”.

Tandatangan petisyen ‘Kempen Sejuta Rakyat Bantah Arak’ di sini:

https://www.change.org/p/sejuta-rakyat-bantah-arak

Ustazah Nur Fatin bte Halil
Ketua Wanita
Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *