Amalan Terbaik Malam Nisfu Syaaban

Syaaban merupakan antara bulan yang istimewa dalam Islam. Ini kerana terdapat satu malam dalam bulan Syaaban ini yang memiliki kelebihan tersendiri dan digelar sebagai Nisfu Syaaban.

Nisfu Syaaban bermaksud separuh daripada bulan Syaaban iaitu 15 Syaaban. Kehadiran Nisfu Syaaban menandakan kita sudah terlalu hampir dengan bulan yang penuh kemuliaan, bulan Ramadan.

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, terdapat masjid dan surau yang mengadakan bacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban diikuti dengan bacaan doa tertentu.

Sebenarnya tidak ada amalan khusus dan tertentu yang diwajibkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban melalui hadis-hadis sahih. Jika terdapat pihak yang mewajibkan ibadah tertentu pada malam ini, ia dikira satu bentuk bid’ah iaitu penambahan dalam agama.

Namun ini bukan bermakna seseorang itu hanya membiarkan malam yang bermakna ini berlalu kosong tanpa sebarang ibadah dan ketaatan.

Justeru, apa sebenarnya keistimewaan malam Nisfu Syaaban dan apa amalan soleh yang kita boleh lakukan pada malam ini?

AMALAN MALAM NISFU SYAABAN

1. Bertaubat kepada Allah dan memohon ampunan-Nya

Terdapat hadis sahih yang jelas menunjukkan antara kelebihan malam Nisfu Syaaban iaitu peluang pengampunan dosa daripada Allah.

Daripada Abu Musa al-Asya’ri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menilik (hamba-hambaNya) pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hambaNya melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik.” (HR Ibnu Majah).

Maka, rebutlah peluang keemasan ini untuk melaksanakan Solat Taubat di malam hari, memperbanyak istighfar dan bersungguh-sungguh berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita.

2. Menjauhi syirik dan sifat-sifat munafik

Dalam hadis di atas, syarat pengampunan yang dijanjikan Allah pada malam Nisfu Syaaban adalah seseorang itu bersih daripada perlakuan syirik dan sifat munafik.

“…melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik.”

Oleh kerana itu, segala salah laku mempersekutukan Allah hendaklah dijauhkan sama sekali. Begitu juga sifat-sifat munafik juga perlu dihindari. Antara ciri-ciri munafik adalah seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila ia berucap berdusta, jika membuat janji ia ingkari, dan jika dipercaya ia mengkhianati.” (HR Bukhari)

3. Bermaaf-maafan dan berdamai sesama manusia

Dalam Hadis al-Tabrani, diriwayatkan Allah akan muncul (yakni rahmat dan pengampunan-Nya) kepada seluruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan mengampunkan seluruh makhluk-Nya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang saling bermusuhan.

Syarat pengampunan seterusnya di samping bersih dari syirik dan sifat munafik adalah bebas daripada segala permusuhan sesama manusia dan saling menghulurkan kemaafan. Ambillah kesempatan untuk saling memaafkan sesama sanak saudara, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang dikenali.

Mudah-mudahan terpadam segala salah silap sesama manusia dan kita dapat memasuki bulan Ramdan yang bakal tiba dalam keadaan hati yang suci.

4. Qiyamullail dan menghidupkan malam dengan amal ibadah

Sepertimana kelebihan menghidupkan sepertiga malam pada malam-malam lain, kita digalakkan meneruskan ibadah ini di malam Nisfu Syaaban. Hidupkan malam ini dengan solat sunat, bacaan Al-Quran, istighfar, zikir dan doa.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan:

Tuhan kita yang Maha Agung dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia ketika telah tersisa sepertiga malam terakhir. Ia berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan mengabulkannya, Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberikannya. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku maka akan Aku ampuni.” (HR Bukhari dan Muslim)

5. Berpuasa Sunat Hari Putih

Puasa Hari Putih atau al-Ayyam al-Beyd (الأيام البيض) merupakan puasa yang disyariatkan pada 13,14 dan 15 haribulan hijri dan digelar dengan ‘putih’ kerana pada hari-hari tersebut malamnya terang benderang disinari cahaya bulan penuh.

Kelebihan puasa pada hari-hari ini antaranya diriwayatkan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: “Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.”(HR Muslim)

Tiada dalil yang mengkhususkan puasa bersempena Nisfu Syaaban. Namun, kita digalakkan berpuasa sempena Hari Putih kerana Nisfu Syaaban jatuh pada 15 haribulan. Ambillah peluang untuk berpuasa pada hari tersebut ditambah dua hari sebelumnya (13 dan 14 haribulan).

Nabi SAW sendiri juga sangat banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Daripada Aisyah RA, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Syaaban.” (HR Bukhari dan Muslim)

Selamat beramal. Moga Allah mempertemukan kita dengan bulan Ramadan.

“Allahumma bariklana fi Syaaban wa ballighna Ramadan”

Nur Fatin binti Halil
Ketua Wanita
Sekretariat MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *