Tidak Akan Sama Doa Seorang Mukmin Dengan Doa Iblis dan Abu Jahal

Status ini adalah merujuk kepada satu status di fb seorang yang boleh dikatakan berwibawa dalam bidang pengajian Islam dan mantan pensyarah di sebuah Universiti Awam di Malaysia yang mendakwa: “kalaulah berdoa itu menjadi ukuran baik buruknya seseorang pemimpin, pada pendapat saya kurang tepat. Ini kerana iblis pun berdoa ketika dia mula membuat ketetapan untuk merosakkan bani Adam”… seterusnya beliau melanjutkan: “Dan Abu Jahal serta kaum musyrikin juga berdoa ketika mereka berdepan dengan angkatan tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW di Badar.” Di akhir status tersebut ditutup dengan kata: “Sekadar renungan sahaja”.

  1. Pertama, saya ingin pinjam kata penutup beliau di atas, dengan menjadikannya sebagai pembuka bicara saya dengan pindaan. “BUKAN SEKADAR RENUNGAN SAHAJA, TETAPI SEBAGAI AMANAH ILMIAH”
  2. Tiada sebarang keraguan bahawa dua makhluk Allah SWT yang dijadikan contoh dalam status berkenaan, merupakan makhluk Allah yang musyrik, kafir, dilaknat, menjadi musuh Allah yang sangat nyata dan mereka akan kekal selama-lamanya dalam neraka. Mengenai hal ini saya kira tidak perlu perincian dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang begitu banyak.
  3. Sekiranya kita lebih perhalusi kandungan al-Quran, nescaya kita dapati bukan dua makhluk ini sahaja berdoa, malah ahli-ahli neraka yang lain juga kelak akan berdoa, tetapi Allah SWT telah bertegas bahawa, “Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini, hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja.” (Maksud surah al-Ghafir: ayat 50)
  4. Sebenarnya orang-orang kafir bukan sahaja berdoa, malah turut memberi minum dan mengimarahkan Masjidil Haram, tetapi tidak boleh sama sekali kita bandingkan hal itu dengan iman seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Rujuk, (surah al-Taubah: ayat 19).
  5. Begitu juga kita tidak boleh samakan atau bandingkan masjid yang dibina atas dasar taqwa yang dibina oleh orang-orang beriman dengan masjid yang dibina oleh orang-munafiq yang dikenali sebagai masjid Dhirar. Rujuk, (Surah al-Taubah: ayat 108)
  6. Doa mukmin dan kafir berbeza daripada semua aspek, sama ada aspek keyakinan (aqidah), pendekatan atau objektif. Dalam status berkenaan, beliau telah memetik maksud ayat 36 dari surah al-Hijr dan maksud ayat 39 – 40 dari surah yang sama. Jika diperhati dan diteliti, nescaya jelas difahami bahawa asas kepada doa iblis tersebut adalah bagi tujuan menyalahkan Allah, mengingkari perintah Nya serta berharap objektif utamanya untuk menyesatkan anak Adam tercapai semaksima mungkin. Manakala mengenai doa Abu Jahal pula beliau telah memetik maksud ayat 32 dari surah al-Anfal. Dalam ayat tersebut jelas menunjukkan Abu Jahal berdoa dengan pendekatan mencabar kekuasaan Allah SWT, bukannya mengakuri kekuasaanNya. Adakah hal seperti ini ada pada doa seorang mukmin?
  7. Kesudahan Iblis dan Abu Jahal jelas dinyatakan dalam al-Quran. Bagaimana pula dengan kesudahan kita?. Semoga kita terus berdoa dan berdoa agar Allah mengangkat wabak yang sedang menular dari muka bumi ini dan semoga kita semua mendapat Husnul Khatimah.
  8. “Orang Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang Mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah ….” (Riwayat Muslim)

Dr Mohd Soberi Awang
Lembaga Penasihat MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *