Falsafah Qurban, sebuah syiar yang tidak boleh diabaikan

1. Menyembelih binatang korban bukan sahaja ibadah bahkan merupakan suatu syiar dalam Islam dan merupakan kesinambungan yang diwarisi dari millah (ajaran) Nabi Ibrahim AS yang dituntut ke atas Umat Nabi Muhammad SAW untuk mengikutinya.

2. Rasulullah SAW apabila ditanya tentang ibadah korban, baginda menjawab: “Sunnah Bapa kamu Ibrahim”. Al Quran telah menjelaskan bahawa ibadah korban adalah suatu ibadah sejagat sejak kewujudan beragama dan bersyariat iaitu sejak kewujudan manusia mentauhidkan Allah. Firman Allah: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat (Al-Hajj 22:34)

3. Perbuatan menyembelih binatang digandingkan dengan solat dalam Al Quran, firman Allah: Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Al-Kauthar 108:2).

4. Katakanlah: “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An’aam 6:162). Menyembelih adalah sebahagian dari nusuk iaitu ibadah.

5. Al Quran telah menyebut dengan jelas maqasid korban iaitu mencapai ketaqwaan dan menyebut,mengingati,membesar dan mengagungkan Allah dan ini adalah sebesar-besar maksud dari ibadah korban.

6. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Al-Hajj 22:37)

7. Ibadah korban adalah ibadah tahunan dengan syarat tertentu, sunnah muakkad di sisi jumhur ulama termasuk Mazhab Imam As-Syafie RA, (meninggalkannya bagi yang berkemampuan adalah makruh) dan wajib disisi Imam Abu Hanifah RA dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad RA (maka meninggalkannya bagi yang berkemampuan adalah haram menurut mazhab ini).

8. Perintah Korban (samada mazhab yang mengatakan wajib atau sunat) hanyalah bagi muslim yang berkemampuan untuk memiliki sekurang-kurang bahagian korban, serta mempunyai perbelanjaan untuk keperluan diri dan tanggungan pada hari raya Al-Adha dan hari-hari tasyriq.

9. Timbul persoalan berkaitan korban sedang kebanyakan negara Islam masih terkesan dengan penyebaran penyakit yang mengakibatkan kemiskinan di kalangan umat Islam termasuk di negara kita, adakah wajar bagi mereka yang berkemampuan untuk berkorban untuk beralih kepada bersedekah kepada mereka yang sangat berhajat kepada keperluan asas kehidupan seharian?

10. Setiap perintah yang datang dari Syara’ tidak gugur dan tidak terkesan dengan faktor luaran seperti kemiskinan dan sebagainya. Sesuatu perintah yang menepati syarat yang digariskan Syara’ berjalan dan tidak sekali-kali boleh dibatalkan.

11. Sebagai contoh solat fardhu dilaksanakan sesuai dengan kemampuan mukallaf dan tidak sekali-kali akan gugur. Begitu jugalah dengan ibadah korban yang telah ijma’ dari segi pensyariatannya, hukumnya tetap sunat atau wajib ke atas mereka yang berkemampuan dan tidak wajib ke atas mereka yang tidak berkemampuan.

12. Sesungguhnya apa yang akan terserlah dari pelaksanaan ibadah korban, tidak sama dengan apa yang terserlah dengan ibadah haji. Begitulah seterusnya setiap ibadah mempunyai kesan tersendiri, apatah lagi ibadah korban adalah syiar agung umat ini, padanya lambang tauhid, bahkan golongan miskin adalah golongan yang paling mendapat manfaat material dan keberkatan dari ibadah ini.

13. Tidak dapat digambarkan pada hari yang disebut sebagai ‘Yaumun Nahri’ iaitu hari sembelihan, sunyi sepi dari aktiviti ibadah korban sehingga tidak ada walau setitik darah yang ditumpahkan kerana Allah dari haiwan korban.

14. Di waktu ibadah-ibadah seperti solat berjemaah dihadkan, bilangan peserta haji dihadkan, janganlah pula ibadah korban dikorbankan. Ibadah korban ketika ini perlu dimudahkan urusannya. Tiada keperluan untuk dihadkan penyertaannya kerana langkah-langkah berjaga-jaga masih boleh diambil contohnya pihak yang akan menguruskan ibadah korban ini adalah terdiri dari mereka yang telah atau diberi suntikan vaksin, dan segala urusan penyembelihan diserahkan kepada mereka yang mengurus sesuai dengan susunan dan kebijaksaan pihak berwajib.

15. Saranan bagi mereka yang berkemampuan untuk mereka mengambil azimah dengan menyedekahkan semua bahagian korban dan mengambil hanya sedikit untuk dimakan sebagai mengambil keberkatan. Firman Allah : Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Al-Hajj 22:36)

16. Akhirnya marilah kita menghayati ketundukan dan kepatuhan serta penyerahan penuh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS terhadap suruhan Allah lalu Allah dengan asbab kepatuhan kita menggantikan apa yang lebih baik kepada kita dan mendatangkan pertolonganNya dalam menghadapi ujian yang berat ini.

Firman Allah: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saaffaat 37:102).

Ustaz Muhammad Hafizuddin bin Jamil
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *