Mintalah dengan Allah

1. Hakikat kehidupan manusia adalah sebuah pentas ujian. Manusia dalam perjalanannya menuju Penciptanya akan menemui pelbagai bentuk ujian sehingga terzahir di kalangan kita yang paling baik amalannya, yang paling bijak menempuhnya, yang paling bersangka baik dengan Tuhannya di sebalik segala ujian yang menimpanya.

2. Kita tidak akan diuji kecuali dengan kemampuan kita. Kesenangan datang dengan tanggungjawab, semakin banyak nikmat kesenangan semakin banyak hak yang perlu ditunaikan. Kesusahan pula datang sebagai kaffarah dan penyucian terhadap jiwa. Bersyukur kepada Allah adalah pada setiap ketika samada dalam senang atau susah.

3. Ketenangan hati seorang hamba mengingati Tuhannya, yang tidak terkesan dengan kesenangan dan kesusahan adalah suatu nikmat yang kadangkala tidak pernah ada dalam benak fikiran manusia. Kita sentiasa mengejar sesuatu yang apabila dicapai ianya adalah permulaan dan mukaddimah kepada sesuatu yang lebih tinggi, lalu kita mengejarnya lagi sehinggalah kita tersedar dan terjaga dan mengerti hakikat dunia ketika maut menyapa kita.

4. Lalu, mintalah dengan Allah SWT dan bermohonlah denganNya agar sentiasa dilorongkan kepada segala asbab kebaikan dunia dan akhirat, kerana sesungguhnya doa itu adalah sari ibadah dan Allah SWT itu suka kepada hamba yang meminta dengannya, dan murka terhadap hamba yang tidak berdoa kepadanya.

5. Berkenaan isu Garpu Tala, secara ringkas ia adalah perbuatan seseorang yang pada zahirnya adalah meminta kepada Allah sesuatu lalu membuka Al Quran secara rambang, kemudian ayat yang pertama yang ditangkap oleh penglihatan mata itu adalah jawapan daripa Allah terhadap permintaannya.

6. Pada zahirnya, perbuatan berdoa dan meminta kepada Allah, kemudian membuka dan melihat ayat Al Quran, kesemuanya adalah perbuatan manusia. Untuk mengatakan ayat pertama yang dilihat adalah JAWAPAN DARIPADA Allah adalah satu dakwaan yang perlu dibuktikan. Tambahan lagi jika perbuatan ini dianggap sebagai kaedah yang konsisten bersama iktikad bahawa ayat yang dilihat adalah jawapan daripada Allah adalah satu bentuk buruk adab terhadap Allah. Seolah-olah menjadi satu kelaziman terhadap Allah untuk memberi jawapan melalui perbuatan ini (semoga Allah melindungi kita daripada beriktikad yang sedemikian).

7. Berdoa dan memohon kepada Allah dengan tertib dan adab sesuai dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah cara yang terbaik. Manakala pengabulan doa dan penerimaannya adalah urusan dan rahsia Allah. Berhati-hati dalam meminta juga adalah suatu ketulusan hati seorang hamba, lalu dia tidak meminta kecuali dia meninggalkan pilihannya dan redha dengan pilihan Allah. Tidak mustajab sesuatu doa atau kelewatan pengabulannya tidak menjadikan kita berputus asa kerana pada hakikatnya setiap permintaan yang benar itu dijawab oleh Allah SWT dalam bentuk dan waktu yang dikehendakiNya samada di dunia atau di akhirat, dan bukan apa yang kita kehendaki.

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Hafizuddin Jamil
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *