Gerhana bulan sebagai isyarat untuk kembali kepada Tuhan
1. Petang ini di Malaysia sekitar selepas waktu Asar hingga sekitar jam 9.50 malam, sedang berlaku gerhana bulan. Yang menariknya gerhana bulan kali ini ia digelar sebagai ‘Super Flower Blood Moon’ yang memberi isyarat bulan berada pada posisi paling hampir dengan bumi yang memberi imej terbesar kepada penduduk di bumi, dan berdarah itu kerana warnanya pada ketika itu seumpama berdarah.
2. Dalam menghadapi fenomena alam yang jarang-jarang berlaku ini, kita dituntut untuk memahami beberapa perkara :
i. Segala kejadian alam berlaku dengan keizinan Allah SWT. Bukanlah gerhana bulan atau matahari itu disebabkan kematian seseorang, tetapi semuanya itu adalah susun atur sistem alam ini. Ia merupakan sebahagian daripada petanda kebesaran Allah SWT yang mengatur siang dan malam.
Rasulullah SAW bersabda : “Matahari dan bulan adalah dua petanda daripada petanda (kebenaran ketuhanan) Allah, ia tidaklah gerhana dengan kematian seseorang atau kehidupan seseorang, tetapi Allah memberi amaran kepada hamba-Nya (dengan gerhana ini)” – HR Bukhari
Ia juga menjadi petunjuk bahawa alam ini bukan bergerak dengan sendirinya, bahkan di sana ada ‘tadbir’ daripada Yang Maha Pencipta untuk menunjukkan bahawa Dia yang mempunyai segala kuasa.
ii. Ketika berlakunya gerhana, Islam menganjurkan untuk kita merasa takut daripada azab Allah, melakukan solat, bersedekah dan membebaskan hamba. Ini kerana gerhana merupakan satu fenomena alam yang ‘pelik’ dan ‘jarang’ berlaku, jadi ia perlu dihadapi dengan ‘perasaan takut’ dan ‘gelisah’ kerana ia boleh menjadi pelbagai petanda.
Rasulullah SAW apabila berlakunya gerhana bulan, baginda SAW menyangka bahawa hari kiamat sedang tiba, lalu baginda SAW bersabda : “Apabila kamu mendapati perkara itu (gerhana) maka bersegeralah solat” dalam hadis riwayat yang lain, disebutkan : “Maka bersegeralah untuk berzikir, berdoa dan meminta ampun kepada-Nya” – HR Bukhari dan Muslim
iii. Oleh kerana keganjilan yang berlaku pada waktu gerhana, kita disunatkan untuk melakukan solat gerhana dengan kaifiyat yang berbeza dengan solat biasa, iaitu melakukan solat dengan dua rakaat dan empat kali rukuk dan qiam (berdiri).
Ini bertepatan dengan fenomena ganjil iaitu gerhana yang sedang berlaku. Solat yang dilakukan Rasulullah SAW ketika gerhana adalah solat yang panjang, hingga satu rakaat pertama dibaca dengan surah Al-Baqarah, dan rakaat kedua dibaca dengan surah Ali Imran.
Panjangnya qiam memberi isyarat kepada panjangnya munajat dan besarnya kegelisahan yang dirasai Rasulullah SAW hingga baginda SAW berdoa dan menyebut : “Engkau (Ya Allah) tidak pernah menjanjikan kepadaku untuk menyeksakan hamba-Mu ketika aku masih bersama mereka, Engkau tidak pula menjanjikan kepadaku untuk mengazab mereka sedangkan kami masih meminta ampun kepada-Mu” – HR Nasaie
3. Peningkatan wabak Covid-19 daripada hari ke hari sememangnya menambah kerisauan dan kegelisahan kepada kita. Hari ini kita dihadirkan dengan fenomena gerhana bulan yang cukup istimewa, seolah-olah satu mesej yang cukup jelas bahawa Allah mahukan kita untuk benar-benar kembali mengetuk pintu-Nya dengan sepenuh kesungguhan.
Ambillah peluang ini untuk menghadap Allah SWT secara bersungguh-sungguh lalu berdoa dan bermunajat memohon keampunan dan kasih sayang-Nya kepada kita.
4. Hakikatnya kelalaian yang menutupi hijab kita dengan azab Allah SWT dan hari akhirat yang berlaku itulah yang menjadikan kita tidak perasan dan tidak pula merasakan sebarang bentuk kegelisahan terhadap kemarahan dan kemurkaan Allah SWT terhadap hamba-Nya.
Dalam khutbah gerhana. Rasulullah SAW menyebut : “Wahai umat Muhammad, sekiranya engkau mengetahui apa yang aku ketahui, sudah pasti kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa” – HR Bukhari dan Muslim
Ini kerana Rasulullah SAW sentiasa melihat dengan neraca yang benar, jiwanya hidup lalu menghubungkan pancainderanya dengan hari akhirat. Setiap yang berlaku mempunyai kira-kiranya tersendiri yang sentiasa membawanya menuju Tuhan.
Dengan perkiraan itu, baginda SAW memimpin dan membina umatnya. Dengan perkiraan itu, baginda SAW selayaknya menjadi sebaik-baik manusia, dan membina sebaik-baik golongan manusia dengan satu kurun lamanya.
Wallahua’lam bissawaab.
Ust Syamil Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)