Kewajipan dan Tuntutan Mendidik Anak

Anak-anak merupakan generasi pewaris masa depan agama, bangsa dan negara. Justeru, tanggungjawab mendidik lebih-lebih lagi dalam aspek membentuk peribadi anak-anak adalah suatu tuntutan di dalam Islam agar mereka membesar sebagai individu yang beriman dan berakhlak mulia. Usaha bagi menyuburkan kecintaan terhadap iman dan ilmu pengetahuan kepada aset dan modal ummah ini perlu dilaksanakan semenjak dari kecil lagi. Hal ini berselarian dengan hadith Nabi SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi [Hadis Riwayat Bukhari 1385]

Berdasarkan hadith tersebut, dapat dilihat mendidik peribadi anak pada fasa pertama adalah suatu tuntutan yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa. Namun, apakah didikan yang perlu diterapkan kepada anak? Di sini, Allah SWT telah memberikan panduan kepada Nabi SAW dan juga ummat seluruhnya untuk diajarkan ilmu pengetahuan dan dimulai dengan ilmu mengenali Allah SWT. Penekanan ini dapat dilihat seawal ayat pertama wahyu diturunkan. Firman Allah SWT;

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ 

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya [Surah al-‘Alaq : 1-5].

Ayat ini menunjukkan kepentingan ilmu dan membaca yang perlu dimiliki oleh setiap manusia agar martabat pemikiran dan akal seseorang dapat dipertingkatkan, menolak sifat buta huruf dan kejahilan serta membuka pintu ketamadunan seluas-luasnya. Kesemua ini akhirnya bermatlamatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT semata-mata sebagaimana perintah untuk membaca dan menuntut ilmu yang diiringkan untuk menyebut nama Allah SWT agar difahami kepada Dia jualah pengakhiran segala tujuan.

Dengan itu, walau dalam cara apa sekalipun, memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik terutamanya didikan agama adalah suatu kewajipan yang dituntut di dalam Islam. Justeru, penerapan pengetahuan yang melibatkan pelbagai cabang ilmu dalam usaha memperkaya dan memperkasakan intelek aset dan modal ummah di masa hadapan ini dilihat memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak termasuklah ulil amri yang diamanahkan dalam mengendalikan pengurusan dan pentadbiran pendidikan.

Begitu juga dalam fasa-fasa sukar norma baharu yang dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat pada masa ini, kesepaduan di antara ibu bapa, guru dan pihak kerjaan merupakan suatu yang perlu digandingkan secara bersama agar anak-anak tetap mendapat pendidikan yang sewajarnya. Keprihatinan ketiga-tiga pihak ini dalam menjalankan pelbagai usaha dalam memastikan pembelajaran anak-anak dalam keadaan baik pastinya akan membuahkan hasil kelak dengan sumbangan semula bakti anak-anak ini kepada agama, bangsa dan negara suatu masa nanti. Malah turut dijanjikan setiap usaha yang dilakukan pada hari ini turut menyumbang kepada mereka yang berusaha ketika berada di alam abadi. Sabda Nabi SAW:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” [Hadith Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)]

Berdasarkan hadith ini, dapat dilihat ibu bapa mendapat saham doa anak yang soleh, guru mendapat saham ilmu yang dimanfaatkan, dan pihak pentadbir mendapat saham amalan sedekah jariah selagi ikhlas dan dilaksanakan mengikut lunas-lunasnya. Dengan itu, diharapkan semoga hadith Nabi SAW ini sentiasa memotivasikan semua pihak untuk terus berusaha dan beramal dengan ikhlas serta melaksanakan segala peranan dan tanggungjawab dengan terbaik kerana semua yang terlibat dalam usaha dan penat lelah hari ini dalam mendidik anak-anak pasti mendapat bahagian masing-masing walaupun telah pergi meninggalkan dunia ini, Insya-Allah.  

Ustazah Nabilah Huda Zaim
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *