DakwahFiqh SemasaSyariahWanita & Kekeluargaan

Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Menurut Islam

Kajian Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018 mendedahkan data amat mengejutkan apabila kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja. Di zaman teknologi yang sedang pesat berkembang dan pembelajaran secara atas talian ini, anak-anak pasti lebih terdedah kepada bahaya pornografi dan seks bebas.

Perkara ini menjadi kerisauan buat semua ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu “Pendidikan Seksualiti” sejak dari kecil supaya masalah pornografi dan seks bebas dalam kalangan umat Islam dapat dibendung.

Menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya yang bertajuk Tarbiyatul Aulad fil Islam, “Pendidikan Seksualiti” ialah mengajar, memberi kesedaran, dan berterus terang dengan anak tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan seks, nafsu dan perkahwinan. Apabila anak-anak mula menginjak usia remaja, mereka lebih tahu apa yang halal dan apa yang haram. Anak-anak akan menjadikan akhlak Islam sebagai panduan dan tidak mengejar syahwat serta tidak hanyut dalam kemaksiatan.

Saya kongsikan di sini garis panduan pendidikan seksualiti mengikut peringkat umur anak-anak.

  • Umur 3 – 7 tahun

Pada peringkat ini anak-anak perlu diperkenalkan dengan anggota tubuh badan dan alat sulit. Anak-anak perlu tahu membezakan sentuhan selamat dan tidak selamat di samping menanamkan dalam diri mereka sifat malu.

Contoh paling mudah selepas mandi, beritahu pada anak anggota tubuh yang tidak boleh disentuh dan dilihat oleh orang lain. Selain itu, anak-anak perlu diingatkan yang mereka perlu malu jika orang lain melihat tubuh badan mereka tanpa pakaian.

  • Umur 7 – 10 tahun (Usia Tamyiz)

Pada peringkat ini anak-anak diajar adab-adab meminta izin dan menjaga pandangan. Al-Quran telah memperincikan adab meminta izin ini dengan lebih jelas dalam Surah An-Nur, ayat 58 hingga 59.

“Wahai orang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang yang belum baligh daripada kalangan kamu meminta izin kepada kamu (sebelum kamu masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa; (iaitu) sebelum solat subuh, dan Ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan selepas solat isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).”

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa hukum meminta izin masuk ke ruang peribadi atau bilik tidur bagi kanak-kanak hanyalah sunat dan wajib apabila anak-anak telah baligh. Namun begitu, hal ini perlu diambil berat agar ianya menjadi kebiasaan apabila anak-anak telah meningkat umur.

  • Umur 10 – 14 tahun (Usia Baligh)

Pada usia ini ibu bapa perlulah mengasingkan tempat tidur anak-anak. Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.” Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495) dan al-Albani menilainya Sahih

Pengasingan tempat tidur yang dimaksudkan di sini adalah memisahkan tempat tidur anak-anak dengan ibu bapa dan adik beradik yang berlainan jantina. Islam mewajibkan pengasingan tempat tidur secara total pada usia 10 tahun.

Namun begitu adalah lebih baik jika ibu bapa cuba memisahkan tempat tidur anak-anak lebih awal. Secara psikologi, pemisahan tempat tidur yang lebih awal dapat melatih anak-anak untuk lebih berdikari.

Pada peringkat ini anak-anak perlulah dijauhkan daripada segala unsur yang dapat merangsang kemahuan seksual. Segala bentuk bahan bacaan dan gadjet perlulah dikawal.

Terdapat segelintir ibu bapa yang membiarkan anak-anak menonton televisyen dan bermain gajet tanpa kawalan. Anak-anak terdedah kepada sebarang bentuk iklan dan video lucah tanpa mereka sedari dan secara tidak langsung meninggalkan kesan yang mendalam pada diri anak-anak.

Akhirnya terdapat segelintir anak-anak yang ketagihkan pornografi apabila meningkat dewasa dan perkara ini sangat sukar diubati jika tidak dicegah dari peringkat awal.

Bagi anak-anak pada peringkat akil baligh ini, mereka perlulah diperkenalkan berkenaan dengan air mani, darah haid dan hukum hakam berkenaan dengannya. Ibu bapa perlu berterus terang dengan anak-anak mengenai perubahan yang bakal berlaku pada diri mereka apabila menginjak usia akil baligh ini.

Anak-anak juga perlu diajar cara menjaga kebersihan diri dan cara mandi hadas. Selain itu mereka juga perlu tahu larangan ketika berhadas. Jika ibu bapa tidak tahu cara terbaik untuk berkongsi dengan anak-anak, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke seminar atau program yang boleh mendedahkan semua ini kepada mereka.

Pada peringkat ini, mereka juga akan mengalami perubahan fizikal dan emosi. Akibat perubahan hormon dalam diri mereka pada peringkat ini, mereka mula tertarik dan meminati individu berlainan jantina dan mengalami krisis identiti.

Ibu bapa perlu memberi lebih perhatian terhadap anak-anak kerana pada peringkat ini mereka lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai sahabat kepada anak remaja agar mereka lebih mudah berkongsi sebarang masalah dengan ibu bapa berbanding rakan-rakan.

Ibu bapa juga perlu mengenali dan mengambil berat pergaulan anak-anak agar mereka berkawan dengan individu yang baik dan tidak terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sihat seperti merokok, mabuk, menghisap dadah dan sebagainya.

Ibu bapa juga perlu menekankan perihal aurat pada peringkat ini terutama anak perempuan. Mereka perlu dibiasakan dengan hijab apabila bertemu dengan bukan mahram. Anak-anak juga perlu diajar batas pergaulan antara lelaki dan perempuan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan emosi dan hasutan syaitan yang akhirnya menjerumuskan mereka kepada maksiat.

  • Umur 14 – 16 tahun (Usia Remaja)

Pada peringkat ini anak-anak perlu diajar agar menjaga maruah diri dan bagaimana menjaga diri dari terjebak dengan maksiat melalui pantauan dalaman dan luaran. Antara contoh pantauan dalaman ialah mengambil tahu bahan bacaan dan tontonan anak-anak dengan cara memeriksa bilik anak-anak dan mengawal pengunaan televisyen dan telefon bimbit.

Ibu bapa juga boleh mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan dan guru-guru di sekolah berkaitan dengan perilaku anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan-rakan juga perlu dititik berat agar tidak berlaku sebarang bibit percintaan sebelum pernikahan baik dengan berlainan jantina ataupun sesama jantina.

Jika terdapat hal yang mencurigakan, ibu bapa perlu menasihati anak-anak dengan baik dan penuh hikmah kerana mereka bukan lagi anak kecil yang boleh dileteri.

Pada peringkat luaran, antara faktor yang paling banyak menyumbang ke arah masalah seksual anak-anak adalah filem dan pawagam, pakaian wanita yang menjolok mata, pusat pelacuran, fenomena lucah dalam masyarakat, pengaruh rakan sebaya dan percampuran lelaki dan perempuan.

Anak-anak perlu diberi kesedaran dan pengukuhan diri agar dapat menjaga diri sendiri daripada terjebak dengan perkara tersebut. Mereka perlu dipasak dengan kefahaman Islam yang kukuh agar dapat menolak ajakan hawa nafsu dan godaan syaitan yang selalu mengajak kepada perkara maksiat.

Selain itu, mereka juga perlu diberi amaran berbentuk hukuman di dunia dan akhirat sekiranya terjebak dengan gejala maksiat dan zina. Al-Quran juga turut menegaskan agar menjauhi zina dalam surah al-Isra’ ayat 32:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”

  • Peringkat belia

Pada peringkat ini sekiranya anak-anak sudah dipasakkan dengan ilmu dan pengetahuan mengenai agama dan pendidikan seks, mereka pasti dapat mengawal diri mereka dari godaan nafsu dan syaitan. Namun begitu mereka perlu selalu diperingatkan agar menjaga diri dan godaan dunia dan pengaruh negatif yang berada di sekeliling mereka.

Bagi anak-anak yang sudah bersedia untuk berumahtangga, maka mereka hendaklah diajar adab-adab dalam hubungan seksual. Bagi yang belum mampu untuk berkahwin, mereka hendaklah menjaga diri dengan melazimi puasa sunat, mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat, memperkasakan Pendidikan agama dan berkawan dengan kawan yang soleh.

Mereka juga perlu dinasihatkan agar sentiasa menundukan pandangan daripada melihat yang haram dan merasai takut kepada Allah Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Pendidikan seksualiti bukanlah satu yang asing dalam Islam. Anak-anak perlulah diajar sejak kecil agar mengetahui batasan pergaulan dan menjauhi zina yang terlarang.

Sebagai penutup, ingatlah anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Moga semua anak-anak dapat dididik agar patuh kepada ajaran Islam dan dijauhi daripada perilaku maksiat. Wallahu ‘alam.

Rujukan : Kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Ustazah Siti Nurunnajwa Shamsudin
Penyelidik MUIS

Leave a Reply