Bersin dan Keindahannya Dalam Islam

Bersin itu anugerah Allah.

Sesungguhnya ajaran Islam datang untuk memperbaharui dan memberi panduan dalam semua urusan hidup ini, sama ada besar atau pun kecil.

Begitulah apa yang hendak diingatkan di catatan ringkas ini. Tentang keindahan bersin yang mungkin kurang diperhatikan dan dihayati.

Terdapat LIMA perkara yang dapat dimuhasabah dan difikirkan tentang bersin yang dikurniakan Allah ini.

Pertama: Kesempurnaan Islam dalam segenap aspek kehidupan

Islam mengajar adab dalam semua tindak-tanduk dan perilaku kita dalam kehidupan. Ini termasuklah sekecil-kecil tindakan bahkan perilaku yang spontan termasuk perbuatan bersin.

Ketika bersin, ada adab dan tertib yang perlu dipraktikkan. Malah ada ucapan khusus yang diajarkan Islam kepada orang yang bersin dan orang yang mendengar saudaranya bersin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah SWT, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “Yarhamukallah”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Apabila seorang Muslim itu bersin, dia harus mengucapkan ‘Alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah) dan orang yang mendengarnya harus mengucapkan ‘Yarhamkumullah’ (Allah merahmati kamu).

Respon pada doa saudaranya itu pula dibalas dengan mengatakan ‘Yahdikum Allah wa yuslih baalakum’ (Semoga Allah memimpinmu dan membetulkan akalmu).

Tindak balas yang spontan dan mudah ini tidak akan berlaku secara berleluasa dalam masyarakat Muslim hari ini tanpa diasaskan oleh kefahaman ilmu tentang bersin yang merupakan satu anugerah Allah. Padanya ada petunjuk wahyu mengenai adab-adab dan tertibnya.

Kedua: Kesyukuran pada Allah yang menganugerahkan kita bersin

Dari Anas bin Malik RA katanya: “Dua orang lelaki bersin dekat Nabi SAW. Lalu yang satu ditasymitkan oleh baginda sedangkan yang satu lagi tidak. Maka bertanya orang yang tidak ditasymitkan, tetapi aku bersin tidak kamu tasymitkan. Mengapa begitu, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Yang ini sesudah bersin dia memuji Allah sedangkan kamu tidak.” (Sahih Muslim)

Perhatikan lafaz tahmid dan tasymit yang diajarkan Nabi SAW. Dua kalimah yang digalakkan oleh Rasulullah SAW agar diucapkan oleh umat Islam. Tahmid merupakan lafaz pujian kepada Allah, tanda syukur kepada-Nya. Manakala tasymit adalah doa yang dibalas oleh pendengar.

Memuji Allah ketika mendapat anugerah. Dan anugerah datang dalam bentuk bersin yang melegakan dan memberi keselesaan. Alhamdulillah sebagai pujian kepada pencipta bersin dan lafaz kesyukuran yang diungkapkan dek leganya kegatalan di dalam hidung.

Ketiga: Bersin mengeratkan hubungan sesama Muslim

Berdasarkan hadis yang telah disebutkan juga, kalimah tasymit yang diajarkan Nabi adalah doa Yarhamkumullah yang disambut dari saudara yang mendengar pujian itu. Saling mendoakan dapat mengeratkan lagi tali persahabatan sesama Muslim. Oleh kerana gembira mendengar doa dari sahabatnya, orang yang bersin tersebut terus menjawab dengan doa yang agak panjang yang lebih mantap dan lengkap serta mengandungi kebaikan, cinta dan persahabatan. Malah keduanya layak mendapat rahmat Allah.

Jangan dilupakan juga pesanan wahyu tentang adab yang mesti diamalkan ketika bersin iaitu dengan meletakkan tangan di mulut dan sebaik mungkin menahan agar tidak keluar bunyi yang kuat ketika bersin sehingga mengganggu orang lain.

Inilah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Abu Hurairah RA berkata :

“Ketika Rasulullah SAW bersin, baginda meletakkan tangannya atau sebahagian pakaiannya ke mulut sehingga mengurangkan bunyi bising. (Tirmizi mengatakan Hadis Hasan Sahih)

Petunjuk dari hadis di atas jelas mengajar kita agar menjaga hubungan sesama manusia dan tidak membuatkan orang lain merasa terganggu dan tidak selesa dengan perbuatan bersin kita.

Keempat: Islam menitikberatkan kebersihan dan kesihatan

Berdasarkan anjuran Islam agar menutup mulut ketika bersin dalam hadis yang telah disebutkan di atas juga menunjukkan betapa Islam mementingkan kebersihan dan kesihatan tubuh badan kita.

Adab bersin yang perlu dipraktikkan iaitu dengan menutup mulut dengan tangan atau sebahagian dari pakaian ke mulut agar dapat mengelakkan jangkitan kuman kepada orang lain. Apa yang Islam telah ajarkan sangat bertepatan dengan ilmu perubatan yang telah menganjurkan amalan atau etika bersin yang betul antaranya memalingkan muka daripada orang lain dan makanan, memakai penutup mulut dan hidung, tidak berkongsi tuala atau sapu tangan dengan orang lain serta membuang tisu yang digunakan ketika bersin ke dalam tong sampah.

Dari sudut saintifik, bersin sebenarnya merupakan satu mekanisma pertahanan tubuh badan manusia. Apabila ada benda asing seperti habuk masuk ke dalam hidung, ada saringan dan isyarat yang akan dihantar ke otak untuk bersin, sekaligus membersihkan hidung dan menghalang kemasukan kuman berbahaya atau benda asing ke dalam tubuh badan manusia.

Subhanallah, untuk setiap kejadian yang ditentukan oleh Allah ada fungsi dan hikmahnya.

Kelima: Bersin adalah anugerah Allah kepada semua makhluknya, sama ada Muslim dan juga kafir

Seluruh manusia bersin. Muslim ataupun bukan Muslim. Islam mengajarkan adab-adab bersin, bahkan yang bukan Muslim juga ada yang mengucapkan kalimah seperti “bless you” ketika mendengar orang bersin.

Bagi mereka yang belum mendapat hidayah Allah, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam sunannya,

Daripada Abu Musa RA berkata:

“Adapun seorang Yahudi sedang bersin di sisi Nabi SAW dan mengharapkan agar Nabi mengucapkan kepadanya semoga kamu dirahmati Allah. Maka Nabi berkata “Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu”.

Rahmatnya Rasulullah SAW telah mengajar kita adab mendoakan kepada sesama Muslim berbeza dengan mendoakan oramg kafir. Ketegasan seorang Muslim dapat dilihat dalam semua keadaan, termasuklah dalam keadaan mendengar orang bersin.

Ini juga menunjukkan agama Islam sangat mengambil berat dan menjaga hubungan sesama manusia, bahkan sentiasa mendoakan kebaikan sama ada kepada saudara se-Islam ataupun kepada mereka yang kafir.

Catatan ini menyeru kita untuk bermuhasabah, kerana kurangnya kefahaman atas anugerah Allah ini, kita merasakan makin malap masyarakat kita mengamalkan doa yang dititipkann oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.

Dalam situasi kini di mana kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 juga, mudah-mudahan kita sentiasa saling ingat mengingatkan untuk menjaga kebersihan dan mengamalkan etika bersin yang telah dianjurkan.

Semoga kita terpelihara daripada virus dan wabak ini dan semoga Allah merahmati kita dengan dapat beramal dengan sunnah bersin yang diajarkan Islam ini.

Wallahua’lam.

Ustazah Hayati Mohd Zari
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 205 access attempts in the last 7 days.